Home Dunia AS buka kertas siasatan ke atas teknologi Tesla

AS buka kertas siasatan ke atas teknologi Tesla

Tesla model S

WASHINGTON – Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) telah membuka siasatan terhadap sistem auto pilot ‘pandu sendiri’ Tesla.

Ia susulan 11 kes kemalangan yang berlaku sejak tahun 2018.

Dalam beberapa kes, kereta Tesla “merempuh secara langsung ke kenderaan responden pertama”, katanya.

Siasatan akan merangkumi kira-kira 765,000 kereta Tesla yang dikeluarkan sejak tahun 2014.

Itu termasuk Model Y, Model X, Model S dan Model 3 – melibatkan keseluruhan keluaran, kata NHTSA.

Agensi ini bimbang dengan ketidakmampuan kereta Tesla untuk berdepan dengan kenderaan lain yang berhenti di jalan raya.

Di antara senarai kes tersebut adalah Tesla “merempuh di belakang” kenderaan bomba yang diparkir ketika sedang memberi bantuan kemalangan dan melanggar sebuah kereta polis yang diparkir.

NHTSA mengatakan pihaknya sedang memulakan penyelidikan awalnya mengenai “teknologi dan kaedah yang digunakan untuk memantau, membantu, dan menguatkuasakan keterlibatan pemandu”, ketika menggunakan autopilot.

Difahamkan terdapat 11 kemalangan yang mendorong siasatan ini, baik autopilot atau sistem yang disebut Traffic Aware Cruise Control yang telah aktif “sebelum” nahas terjadi.

Teknologi inilah yang membolehkan kereta dipandu, memecut dan brek secara automatik.

Tetapi teknologi ini dpersoalkan kerana ia tidak memandu kereta secara automatik tetapi pemandu diminta untuk sentiasa mengawal dan memberi perhatian.

Tesla telah memasarkan ciri-ciri tersebut sebagai “autopilot” dan menjanjikan “pemanduan penuh”, yang kini tersedia untuk beberapa pengguna dalam versi beta.

Pengguna telah sering menyalahgunakan sistem ini pada masa lalu, sebagai contoh menggunakan telefon ketika memandu kereta tanpa pengawasan hingga menukar tempat duduk kereta dan membiarkan kereta tanpa pemandu.

Dalam satu kenyataan NHTSA berkata: “Tidak ada kenderaan bermotor yang mampu memandu sendiri pada hari ini. Setiap kenderaan yang ada memerlukan pemandu manusia untuk memastikan ia sentiasa terkawal”. – MalaysiaGazette