KUALA LUMPUR – Restoran tempatan, Teh Tarik Place mengumumkan pemberian teh tarik dan produk makanan sepanjang hayat kepada semua atlet Malaysia yang mewakili negara di dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.
Pengerusinya Techna-X Berhad yang merupakan anak syarikak restoran itu di bawah Craveat International, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar berkata, tawaran itu sebagai pengiktirafan kepada 30 atlet negara yang membawa bendera Malaysia berkibar tinggi dan megah di temasya sukan berprestij itu.
Jelas beliau, persaingan dengan 11,000 atlet daripada 206 negara sudah pastinya akan memberikan tekanan kepada para atlet.
“Kami tahu bahawa kemenangan semasa bertanding di Sukan Olimpik sangat bergantung pada perincian terperinci ketika pertandingan seperti lintasan anak panah penembak, sentakan pergelangan tangan dan masa lompatan penyelam.
“Semasa atlet-atlet sedang berjuang untuk menggapai kemenangan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, semangat dan kebanggaan rakyat Malaysia terus tersemat di hati kami.
“Liputan akhbar dan reaksi negatif yang diterima oleh atlet-atlet negara adalah sangat mengecewakan.
“Kami ingin menyampaikan satu pesanan kepada semua atlet Malaysia, walaupun ada yang meragui, kami tetap mengakui pengorbanan, semangat dedikasi dan kesukanan yang ditunjukkan oleh atlet sepanjang Sukan Olimpik ini berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Teh Tarik Place yang memiliki lebih 14 cawangan di seluruh negara dan dua cawangan di Brunei merupakan anak syarikat kepada Craveat International dan juga rakan francais rasmi untuk rangkaian makanan kasual antarabangsa; TGI Fridays di Malaysia dan di China.
Craveat International pula adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat yang dimiliki oleh Techna-X Berhad iaitu syarikat awam yang tersenarai dan diperdagangkan di dalam Bursa Malaysia sejak tahun 2007.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin berkata, pihaknya menghormati kesungguhan dan disiplin yang diperlukan untuk menguasainya dan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet negara yang merupakan pencapaian besar.
“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kerana menaikkan nama negara, kami ingin mengumumkan pemberian seumur hidup berupa teh tarik dan produk makanan kepada semua Olimpian Malaysia negara
“Kecemerlangan adalah sesuatu yang kita semua mampu fahami tetapi atlet-atlet negara kita telah melangkaui jangkaan dan mencapai tahap yang seterusnya. Kesempurnaan dalam setiap acara adalah satu beban yang berat untuk ditanggung tetapi atlet-atlet lelaki dan wanita muda ini telah menaikkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya. – MalaysiaGazette