Home Nasional Kutipan VEP sempadan Malaysia-Thailand masih dikaji

Kutipan VEP sempadan Malaysia-Thailand masih dikaji

Nadzri Siron

ALOR SETAR – Kutipan Caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand hanya dapat dilaksanakan selepas selesainya kajian teknikal oleh Kementerian Pengangkutan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata, pada masa ini, pihak teknikal masih mengkaji VEP di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran itu.

“Selepas kajian ini selesai, kita dapat melaksanakan kutipan bayaran VEP, seperti yang sudah dilaksanakan di Johor Bahru. Buat masa ini, kita belum ada jangka masa bagi melaksananya.

 “Kita (JPJ) juga akan berbincang dengan Kerajaan Negeri berkenaan untuk mengatur masa yang sesuai untuk membolehkan kutipan bayaran VEP ini dilaksanakan di Kedah yang bersempadan dengan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penutupan Program 1 Komuniti 1 JPJ Daerah Kota Setar 2017 oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz dekat sini, hari ini.

Nadzri berkata, bayaran VEP itu kelak mungkin sama dengan jumlah yang dikutip di Johor Bharu iaitu sebanyak RM20 bagi setiap kenderaan berpendaftaran asing yang memasuki negara ini.

“Hasil kutipan VEP yang diperoleh di Johor Bharu diberikan kepada Kerajaan Negeri. Untuk kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita tunggu pengumuman daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan kutipan VEP di pintu masuk Malaysia-Singapura di Johor Bahru mulai November tahun lepas hingga Julai tahun ini, jumlah kuitpannya mencecah RM9,106,900. – MalaysiaGazette