Home Politik Pemuda UMNO Kedah sokong tubuh RCI Memali

Pemuda UMNO Kedah sokong tubuh RCI Memali

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali pada tahun 1985.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu wajar bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kejadian ini atas beberapa sebab.

“Pertama, masih banyak misteri dan tandatanya berhubung tragedi ini sehingga hari ini masih menjadi misteri.

“Kedua wujud fakta bercanggah sama ada benar atau tidak arwah Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya benar benar mewujudkan gerakan untuk menumbangkan kerajaan ala revolusi atau kumpulan berkenaan sekadar satu pengikut ajaran agama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketiga, menurut Shaiful Hazizy, perakuan Tun Musa Hitam sendiri selaku timbalan perdana menteri dan Menteri Dalam negeri ketika itu yang menyatakan Tun M berada di dalam negara berbanding kenyataan yang disebarkan selama ini bahawa semasa kejadian Tun mahathir dalam rangka lawatan kerja rasmi ke negara China.

“Keempat, tragedi ini melibatkan nyawa dengan seramai empat anggota keselamatan terlibat dan 14 warga Kampung Memali terbunuh.

“Perlu digali hingga ke akar umbi siapa yang mengarahkan operasi ini? Kenapa perlu sehingga pertumpahan darah? Apakah tidak ada mekanisme lain melalui perundingan yang boleh dilaksanakan untuk mengelakkan pembunuhan?” soalnya.

Menurutnya, misteri danpersoalan perlu dijawab dan dijelaskan oleh Tun M terlebih dahulu kerana ini merupakan ‘ hutang nyawa’ dan dosa berzaman beliau kepada warga Memali, rakyat Kedah khsususnya dan warga Malaysia amnya.

“Dengan merungkai persoalan ini secara jelas maka barulah Tun M terutamanya PPBM layak untuk bercakap soal menerajui Kedah.

“Hakikatnya Tun M masih berhutang penjelasan dengan rakyat Kedah dan warga Malaysia amnya berhubung isu Memali,” katanya.- MalaysiaGazette