Home Nasional Wanita tikam peha sendiri, reka cerita samun didakwa esok

Wanita tikam peha sendiri, reka cerita samun didakwa esok

Wanita yang mendakwa dirinya cuba disamun dan ditikam di paha kanan oleh penjenayah dalam kejadian di Taman Greenwood Selayang Ahad lalu rupa-rupanya hanya rekaan semata-mata akibat tekanan masalah keluarga yang dialaminya.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mendakwa cuba disamun dan ditikam di peha oleh penjenayah ketika memandu di Taman Greenwood Selayang, Gombak bakal didakwa di mahkamah esok.

Ini kerana dalam perkembangan terbaharu siasatan kes berkenaan, polis mendapati dakwaan wanita itu tidak berlaku dan suspek telah membuat laporan palsu mengenainya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed mengesahkan kejadian tersebut  tidak berlaku seperti sebaliknya hanyalah rekaan cerita mangsa semata-mata.

“Siasatan lanjut kami mendapati mangsa telah mencederakan diri sendiri dengan menikam peha kanannya di lokasi tersebut.

“Hasil siasatan rapi yang dijalankan juga mendapati mangsa telah mereka-reka cerita cubaan samun tersebut dan menikam peha kanannya sendiri,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan terkini kes tersebut hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditikam di peha dalam cubaan samun 

Tambah beliau, mangsa menerima tujuh jahitan pada luka di peha kanannya akibat tikaman itu.

Siasatan lanjut polis ke atas mangsa mendapati motif kejadian adalah mangsa mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga.

“Kertas siasatan kes ini juga telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Selangor dan mangsa akan dituduh di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan (maklumat palsu, dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang–undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang lain) di Mahkamah Majistret Selayang esok 18 Ogos ini.

“Jika disabitkan kesalahan akan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan pada Ahad lalu, Zainal sebelum itu menyatakan bahawa semasa kejadian pada jam 4.24 petang itu mangsa mendakwa sedang memandu kereta milik abangnya.

Katanya, abang mangsa mengatakan mangsa menghubunginya dengan memaklumkan dia didatangi seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta untuk meragut begnya.

“Mangsa tidak mampu memberi gambaran jelas mengenai lokasi kejadian sebenar kerana ditikam di pehanya dengan pisau dan masih trauma,” katanya.

Tambah beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang oleh pihak ambulans dan kini masih berada di zon merah namun keadaannya dilaporkan stabil.

Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette