Home Nasional SAM ulangi pendirian bantah pembangunan cerun bukit

SAM ulangi pendirian bantah pembangunan cerun bukit

Beberapa batu besar berdiameter antara 1.5 meter menggelongsor di atas jalan raya akibat tanah runtuh.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengulangi pendirian tidak menyokong pembangunan di kawasan cerun atau lereng bukit ekoran ia memusnahkan ekosistem dan menyebabkan bencana.

Pendirian itu ditegaskan Presiden SAM, Meenakshi Raman susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Pusat Falak Sheikh Tahir, Jalan Pantai Acheh, Balik Pulau, di sini, semalam.

Selain itu, Meenakshi turut menggesa kejadian tebing runtuh berhampiran pusat itu perlu diberi perhatian serius pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

“Tindakan mitigasi perlu dilakukan supaya masalah ini tidak lagi berulang di masa akan datang dan sekiranya membabitkan penduduk berhampiran, mereka perlu dipindahkan.

“Manakala kerosakan yang berlaku perlu dibaik pulih dengan segera bagi menjamin keselamatan dan kestabilan cerun di kawasan berkenaan.

“SAM difahamkan bahawa punca kejadian disebabkan kegagalan ‘stone pitching’ bagi ‘protection slope’ (perlindungan cerun) akibat hujan lebat menyebabkan kegelongsoran batu besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, maklumat daripada sumber yang sama juga menerangkan bahawa pihak Jabatan Mufti pada tahun 2016 atau 2017 sudah diberi cadangan bagi penambahbaikan protection slope di kawasan itu.

“Namun mungkin disebabkan beberapa faktor yang dikemukakan pihak IKRAM dan Cawangan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, menyebabkan pihak Jabatan Mufti menolak atau tidak memberi kelulusan bagi cadangan itu.

“Walaupun terdapat maklumat mengenai keselamatan bangunan kerana tiada kerosakan pada struktur bangunan, kami berpendapat perkara ini perlu diteliti dan dikaji secara mendalam,” kata beliau.

MalaysiaGazette semalam melaporkan Pusat Falak Sheikh Tahir di Jalan Pantai Acheh di sini, tidak selamat untuk didiami ketika ini susulan tebing bukit pusat itu runtuh.

Difahamkan hujan lebat yang berterusan sejak tengahari tadi dipercayai punca sebahagian tebing bukit tersebut runtuh.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa batu besar berdiameter antara 1.5 meter menggelongsor di atas jalan raya yang menjadi jalan utama ke Kampung Pantai Acheh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah runtuh, Pusat Falak Sheikh Tahir tak selamat didiami