Home Sukan KL2017: Masoc kesal insiden bas berlanggar

KL2017: Masoc kesal insiden bas berlanggar

Datuk Low Beng Choo

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) mengesahkan insiden kemalangan bas yang membawa atlet Sukan SEA dari Thailand, Myanmar dan Filipina pagi ini kini dalam siasatan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan susulan.

Setiausaha Jawatankuasa Teknikal dan Sukan Masoc, Datuk Low Beng Choo berkata pihaknya berasa kesal dan dukacita atas insiden itu.

“Jawatankuasa Perubatan Masoc kini sedang mengendalikan perkara ini. Beberapa atlet dan pegawai yang terlibat sedang dirawat di Pusat Rawatan Sukan.

“Kami dimaklumkan bahawa ada antara atlet dan pegawai yang terlibat telah dibenarkan untuk bertanding oleh pasukan perubatan mereka sendiri selepas menjalani pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, Beng Choo berkata, semua perlawanan yang sepatutnya berlangsung pagi ini telah ditangguhkan.

Namun, katanya, Masoc akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengurus pasukan terlibat pada pukul 2 petang tadi bagi membincangkan langkah susulan.

 “Kami juga akan mendapatkan persetujuan bagi menyusun semula jadual perlawanan.

“Perlawanan lain yang tidak melibatkan atlet yang terbabit akan diteruskan pada pukul 3 petang ini, tertakluk kepada persetujuan semua pengurus pasukan,” katanya.

Jelas beliau, Masoc akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai jadual perlawanan baharu sebaik sahaja maklumat berkenaan diperolehi.

Terdahulu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Shafie Daud mengesahkan dua bas membawa atlet dari ketiga-tiga negara itu terlibat dalam kemalangan di tol Sungai Besi menghala ke Kesas, kira-kira pukul 7.50 pagi.

Shafie berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas yang berada di hadapan membrek secara mengejut apabila sebuah motosikal cuba mencilok di depannya.

Katanya, tindakan itu mengakibatkan bas yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bas di depan.

Ketika kejadian, kedua-dua bas itu dalam perjalanan dari Hotel Maariot Putrajaya menghala ke Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette