STOCKHOLM – Satu-satunya glasier puncak gunung di Sweden, yang hingga 2019 juga merupakan puncak tertinggi, telah menyaksikan penyusutan ketinggian sebanyak dua meter lagi pada tahun lalu.
Keadaan itu berlaku akibat peningkatan suhu udara yang didorong oleh perubahan iklim, kata Universiti Stockholm.
Pada tahun 2019, puncak selatan Kebnekaise massif diturunkan kepada peringkat kedua pada kedudukan pergunungan Sweden setelah sepertiga glasiernya cair.
Puncak utara Kebnekaise, yang tidak ada glasier kini merupakan puncak tertinggi di negara Nordic itu.
“Pada 14 Ogos, puncak selatan Kebnekaise diukur pada ketinggian 2,094,6 meter dari permukaan laut oleh penyelidik dari stesen penyelidikan Tarfala.
”Ini adalah ketinggian terendah yang telah diukur sejak ukuran dimulakan pada tahun 1940-an,” kata universiti itu.
Menurutnya, penurunan puncak dan perubahan yang berlaku itu bukan sahaja disebabkan oleh peningkatan suhu udara tetapi juga faktor angin, yang mempengaruhi tempat salji berkumpul pada musim sejuk.
Universiti Stockholm berkata, perubahan itu mencerminkan pemanasan iklim di Sweden yang telah lama berlaku, memetik laporan panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini yang mengatakan pemanasan global telah menyebabkan pencairan glasier yang hampir tidak dapat dikawal.
Kebnekaise massif terletak sekitar 150 km (90 batu) utara Lingkaran Artik di kawasan Pergunungan Skandinavia yang terletak di utara Norway dan Sweden dan merupakan sebahagian dari Tapak Warisan Dunia Laponia. – Reuters