Home Pendapat Fenomena kemunculan Doomsday Preppers di Malaysia: Siri 1

Fenomena kemunculan Doomsday Preppers di Malaysia: Siri 1

Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 memberikan ruang yang luas kepada segelintir masyarakat mengambil kesempatan lalu mengaitkan peristiwa ini dengan kedatangan dajjal dan Imam Mahdi. Situasi pergolakan politik dalam negara turut menyuburkan lagi ruang tersebut sehingga munculnya beberapa kumpulan yang berlegar dalam media sosial kononnya hari kiamat akan muncul dalam tempoh terdekat.

Kumpulan ini giat melakukan persiapan untuk melarikan diri masuk ke hutan belantara kononnya hendak  menyelamatkan diri daripada serangan dajjal dan tentera New World Order. Di Barat, kumpulan ini dikenali sebagai Doomsday Preppers. Menurut Charlie Palmer istilah Prepper merujuk kepada sekelompok manusia yang mempersiapkan
diri mereka menghadapi episod-episod bencana akhir zaman. Isitilah ini baru dipopularkan sekitar pada tahun 2002.

Evolusi Gerakan Doomsday Preppers

Sebenarnya gerakan Doomsday Preppers bukanlah perkara baharu di Barat terutamanya di Amerika Syarikat. Menurut sebahagian tokoh, gerakan ini dikesan bermula dari era Perang Dingin 1947-1991. Satu langkah luar biasa diambil oleh pentadbiran Presiden
John F. Kennedy di mana beliau menggalakkan rakyat Amerika Syarikat membina tempat
perlindungan di kediaman masing-masing. Ya, pada waktu itu, Perang Dingin semakin
mencengkam dan ancaman serangan peluru berpandu Nuklear Soviet yang ditempatkan di negara Cuba mula menakutkan rakyat Uncle Sam tersebut.

Lokasi-lokasi jatuhnya peluru berpandu nuklear jatuh mula menjadi bahan bualan. Bandar New York, Washington dan Chicago antara lokasi sasaran serangan yang mula diperkatakan oleh sesetengah orang waktu itu. Kebimbangan menghadapi ancaman serang Soviet menyebabkan Don Stephens (dianggap pelopor gerakan Preppers) mencadangkan orang rami mencari perlindungan jauh daripada penempatan awam.

Pada tahun 1970-an, setelah reda dari ancaman Soviet, rupa-rupanya gerakan ini tidak
terhenti di situ, malah mereka terus berkembangan berevolusi daripada sekadar misi
melindungi diri dari serangan kepada bersedia dengan kelengkapan persenjataan! Pada ketika ini Kurt Saxon mula mempopularkan istilah survivalism dalam majalah The Survivor. Beliau menerangkan cara-cara membuat bom buatan sendiri dan kelengkapan persenjataan ikhtiar hidup yang lain. Maka jelaslah bahawa gerakan Preppers ini mula berkembangan menjadi suatu komuniti yang mempunyai keupayaan tempur.

Pada zaman pentadbiran Ronald Reagan sekitar tahun 1981-1982, berlaku krisis
ekonomi di Amerika Syarikat hingga memaksa beberapa syarikat gergasi ditutup. Serentak dengan itu, gerakan Preppers mula mendapat perhatian sekali lagi. Malah pada ketika itu peralatan survival laris di pasaran malah ia mula dipamerkan secara meluas sehingga menjadi antara perniagaan yang penting ketika itu.

Bertukar menjadi gerakan radikal dan pelampau agama

Pada tahun 1983, gerakan ini mula berubah menjadi sebuah pertubuhan radikal bersenjata yang dikenali sebagai The Covenant, the Sword and the Arm of the Lord. Gerakan pelampau agama Kristian kulit putih ini diketuai oleh James Ellison. Beliau bersama-sama pengikut setianya membuka sebuah perkampungan terpencil di Oklahoma yang diberi nama Elohim City. Tanah seluas 400 ekar itu digunakan oleh mereka untuk mengembangkan ideologi radikal pelampau kulit putih (White supremacist) dan merekrut sejumlah orang.

Antara idea yang diajar ialah mereka percaya bangsa kulit putih merupakan bangsa terpilih yang menyelamatkan dunia.  Antara ajaran yang paling penting ialah mereka berkeyakinan bahawa hari kiamat berlaku dalam tempoh yang sangat hampir berdasarkan tanda-tanda tertentu dan bangsa kulit putih akan terpilih untuk memerintah dunia bersama-sama Messiah yang mereka nantikan. Semua ahli dalam komuniti kampung ini diajar dengan keupayaan perang gerila dan pejuang paramiliter.

Akhir pada tahun 1985, FBI telah menyerbu perkampungan ini dan menyita sejumlah senjata yang digunakan. Namun begitu gerakan ini mendapat perhatian apabila
mereka dipercayai terlibat dalam tragedi pengeboman di Oklahoma City pada tahun 1995
yang mengorbankan sejumlah 168 orang.

Maka bermula daripada dekad ini, gerakan Preppers mula mengalami proses perubahan yang ketara. Malah gerakan ini mula dikaitkan dengan kumpulan pelampau agama
dan pelampau kulit putih. Misalnya, insiden Ruby Ridge pada tahun 1992 yang menyaksikan tembak menembak di pasukan polis Idaho sehingga mengorbankan nyawa demikian juga kejadian kepungan ke atas sebuah perkampungan sementara kumpulan Preppers iaitu di Waco, Texas yang mengorbankan 76 anggota kumpulan ini terdiri dari kanak-kanak dan wanita malah terdapat di kalangan wanita yang hamil turut menjadi mangsa korban.

Ketua kumpulan ini iaitu David Koresh berpegang teguh dengan idea huru hara kiamat yang akan berlaku di Amerika Syarikat selain daripada pegangan kedatangan Messiah berdasarkan apa yang disebut dalam Book of Revelation yang menyebabkan mereka nekad mati kerana mempertahankan pegangan tersebut. Menurut Rachel Tabachnick kebanyakan kumpulan yang berselindung di sebalik Preppers adalah kumpulan pelampau agama Kristian berkulit putih.

Nampaknya fakta ini boleh diterima kerana apabila buat pertama kalinya dalam sejarah Amerika Syarikat mempunyai presidan kulit hitam pertama iaitu Barrack Obama kumpulan Preppers berkembangan dengan agak ketara. Michael F. Mills dalam jurnalnya “Obamageddon: Fear, the Far Right, and the Rise of Doomsday Prepping in Obama’s America” menerangkan bagaimana gerakan Prepperism menjadi alat politik mencipta ketakutan di kalangan rakyat Amerika Syarikat.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh John Anderer dalam Journal of American
Studies, gerakan Preppers ini merupakan budaya Amerika Syarikat yang telah mempengaruhi beberapa negara di Eropah dan Asia. Selain itu juga, gerakan ini adalah manifestasi dari fear culture yang kerap membelenggu rakyat negara Uncle Sam itu, memandangkan negara tersebut mempunyai musuh-musuh politik. Penglibatan dan percaturan Amerikan Syarikat dalam peperangan di dunia selain hagemoninya ke atas dunia ketiga mencetus persaingan hebat sama ada daripada aspek persenjataan dan ekonomi sekurang-kurangnya China dan Rusia dilihat sebagai kuasa yang hampir menyamai kekuatannya.

Sehingga hari ini kumpulan Preppers di Amerika Syarikat digerakkan oleh golongan
agama mereka melalui Pastor sama ada kumpulan Kristian Evangelist di mana mereka masih kuat mempercayai bahawa misi biblikal itu pasti berlaku. Menariknya, kumpulan ini
merupakan golongan yang penyokong kuat Zionis Israel bahkan dengan penubuhan negara Israel itu sendiri sebahagian daripada manifestasi ramalan biblikal yang dipegang oleh mereka.

Misi dan operasi mereka masih tidak jauh berbeza dengan masa-masa permulaan
gerakan ini muncul. Hari ini tempat terpencil seperti hutan dan lereng bukit sekitar
Oklahoma, Missouri, Arkansas dan Kansas menjadi tempat di mana komuniti ini mendirikan perkampungan sementara mereka. Jelaslah kepada kita dari aspek akar sejarahnya, bagaimana kumpulan ini sememangnya didominasi oleh kelompok pelampau bangsa dan tidak seharusnya diikuti oleh kita umat Islam.

Seterusnya, dapat juga kita simpulkan bahawa suasana panik dan ketakutan adalah ruang yang sangat ideal untuk kumpulan ini berkembang dan mempengaruhi
masyarakat awam. Apa yang paling penting ialah artikel ini mencadangkan bahawa
kumpulan berpotensi menjadi kumpulan radikal bersenjata! Sejarah telah membuktikannya.  Jika situasi ketakutan, perkauman dan politik menjadi bayangan kepada kemunculan gerakan ini di dunia Barat, bagaimana pula di Malaysia? Benarkah perubahan politik, ketidakstabilan politik dan pandemik Covid-19 mendorong gerakan ini menapak di Malaysia?

Oleh: Dr Mohd Zulfahmi Mohamad
Pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah

Artikel ini dihasilkan bagi mendedahkan trend gerakan yang mula menampakkan pengaruh di Malaysia. Artikel ini juga akan mendedahkan aspek-aspek terpesong yang dikaitkan dengan kumpulan yang kononnya mendakwa ingin menyelamatkan diri dari huru hara akhir zaman. Objektif akhir penulisan ini diharapkan agar dapat
membuka mata pihak berkuasa, jabatan agama Islam negeri-negeri dan seluruh masyarakat mengenai kewujudan kumpulan ini di media sosial.