Home Nasional Pengawal keselamatan maut langgar MPV di Jalan Permatang Panjang

Pengawal keselamatan maut langgar MPV di Jalan Permatang Panjang

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Permatang Panjang di sini, semalam.

KEPALA BATAS – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam satu kejadian di Jalan Permatang Panjang di sini, semalam.

Kejadian jam 7.40 malam itu menyebabkan mangsa, Muhammad Amin Hussain, 26, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.

Noorzainy.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Alza itu dari arah Kepala Batas menghala ke Pekan Darat dan apabila sampai di Jalan Permatang Panjang kereta di hadapannya memberi lampu isyarat untuk membelok ke kiri.

“Dia yang ketika itu memandu perlahan di belakang kereta tersebut dikejutkan dengan bunyi dentuman pelanggaran dari arah belakang kenderaannya.

“Akibat pelanggaran tersebut penunggang motosikal (mangsa) itu terpelanting ke bahu jalan sebelum disahkan meninggal di lokasi akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorzainy, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

“Bedah siasat akan dibuat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette