JOHOR BAHRU – Seorang bekas pegawai eksekutif syarikat makanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini pagi tadi atas pertuduhan menerima wang tanpa lesen yang sah sejumlah RM10,000 di Kulai, pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Fadzli Jamaludin, 31, bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11.27 malam di No. 94 Jalan Manis 8, Taman Manis, Kelapa Sawit, Kulai, pada 3 Mac 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (AKTA 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien manakala tertuduh diwakili peguam B. Puvarasan.
Mahkamah dicadangkan menetapkan jaminan sejumlah RM20,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Puvarasan memohon jaminan diringankan di bawah RM10,000 memandangkan anak guamnya hilang pekerjaan dalam tempoh pandemik.
Selain mempunyai dua orang tanggungan termasuk anak yang berusia dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan termasuk untuk serahan dokumen.-MalaysiaGazette