Home Utama Hamzah, Annuar bertemu Muhyiddin di Bukit Damansara

Hamzah, Annuar bertemu Muhyiddin di Bukit Damansara

KUALA LUMPUR – Kediaman Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara di sini kembali menjadi tumpuan apabila beberapa buah kenderaan yang membawa Ahli Parlimen dilihat masuk sejak tengah hari tadi.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam yang dipercayai membawa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilihat masuk ke kediaman Muhyiddin pada pukul 1.20 tengah hari.

Tidak lama kemudian, sekitar pukul 1.53 tengah hari, kenderaan dipercayai membawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa turut dilihat masuk ke kediaman peribadi Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dipercayai pertemuan antara bekas Perdana Menteri itu bersama Hamzah dan Annuar berkait rapat dengan pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Ke-9.

Artikel berkaitan:

Hanya berbaki kurang dua jam untuk semua 220 Ahli Parlimen mengemukakan surat akuan calon pilihan mereka terhadap Yang di-Per­tuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rak­yat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, surat akuan itu perlu diserahkan kepada Istana Negara selewat-lewat pukul 4 petang.

Malam tadi, dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengesahkan parti itu bersetuju menyokong Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, nama Ismail Sabri dipersetujui oleh semua 42 ahli Parlimen BN untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum pukul 4 petang. – MalaysiaGazette