KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) September ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kadar vaksinasi dua dos di negeri tersebut kini sudah mencapai kira-kira 35 peratus dan hanya tinggal kurang lima peratus untuk mencapai syarat yang dikenakan bagi beralih ke Fasa Tiga, katanya.
“Untuk Terengganu, penerima satu dos kita sudah capai 60 peratus manakala berdasarkan data dua hari lepas, bagi penerima dua dos kita sudah berada pada 35 peratus. Jadi ada kurang lima peratus lagi sebelum Terengganu sampai ke 40 peratus sebagai salah satu syarat mencapai fasa berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sebelum ini, indikator bagi membolehkan peralihan ke Fasa Tiga, adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berunding dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan supaya Terengganu menerima tambahan jumlah vaksin COVID-19, memandangkan terdapat kes positif di negeri ini melibatkan varian Delta atau varian mutasi berganda dari India. – Bernama