Home Nasional Golongan rentan tanam 2,000 pokok cili bara

Golongan rentan tanam 2,000 pokok cili bara

Golongan rentan yang berminat menjayakan projekfertigasi cili bara membuat persiapan projek penanaman di tengah-tengah bandaraya Kuantan

KUANTAN – Lima pekebun daripada golongan rentan mengambil inisiatf menanam 2,000 pokok cili bara bagi meningkatkan taraf hidup.

Projek tanaman fertigasi cili Bara tersebut dibangunkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dapur Infaq Ummah Kuantan sebagai langkah memupuk semangat berdikari dan mengubah nasib golongan ini.

Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, projek bermula awal Ogos lalu bagi melatih peserta supaya berdaya maju serta melahirkan komuniti lebih baik.

“Projek penanaman cili bermuala awal bulan lepas dan kini sedang dalam proses mempersiapkan peralatan fertigasi sebelum proses penanaman anak pokok cili bara.

“Dengan pendapatan yang diperolehi itu, ia mampu mengubah nasib gkomuniti tersebut dan menaikkan taraf kehidupan.

“Alhamdulillah, idea untuk membantu golongan rentan kawasan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar, turut dibantu oleh kerajaan Pahang dalam menyalurkan perlbagai jenis bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara di Jalan Wong Ah Jang berhadapan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, peserta mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 jika tanaman yang diusahakan itu menjadi.

Menurut Badrul, dianggarkan lebih 600 kilogram cili bara dapat dihasilkan dan hasil pertama projek ini dijangka dituai pada akhir November atau awal Disember ini.

Selain itu katanya, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut membantu dalam melaksanakan projek tersebut bagi memberi peluang perintis mendapatkan pendapatan sendiri. – MalaysiaGazette