Home Ekonomi Bilangan penganggur masih kekal tinggi

Bilangan penganggur masih kekal tinggi

 

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh lebih baik pada suku kedua 2021 berbanding suku sama tahun sebelumnya namun belum kembali kepada kedudukan sebelum pandemik, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh lebih baik pada tempoh itu berdasarkan peningkatan dalam penawaran dan permintaan buruh, namun masih belum kembali seperti sebelum pandemik.

Peningkatan ini disokong oleh pengoperasian aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih banyak terutamanya pada awal suku kedua termasuk pembukaan semula pendidikan menengah serta kebenaran bagi gerai makanan dan penjaja untuk beroperasi sempena bulan Ramadan.

Walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh telah dilaksanakan sejak 1 Jun 2021 berikutan peningkatan kes harian dan kematian akibat Covid-19.

Dalam fasa ini, kebenaran untuk beroperasi hanya diberikan kepada aktiviti penting merangkumi subsektor pembuatan terpilih, makanan & minuman, keselamatan, perkhidmatan kesihatan dan perubatan, perbankan dan komunikasi.

Namun, keadaan ini berbeza dari suku yang sama tahun sebelumnya dengan kebenaran berada di premis sehingga 60 peratus bagi pekerja sektor penting swasta.

Peningkatan penyertaan dalam tenaga buruh berbanding suku yang sama tahun sebelumnya ditunjukkan oleh pertambahan 0.2 mata peratus kadar penyertaan
tenaga buruh kepada 68.3 peratus.

Bilangan penduduk bekerja naik 2.2 peratus merekodkan 15.21 juta orang (ST2 2020: 14.88 juta orang).

Sementara itu, bilangan penganggur berkurang 3.4 peratus kepada 764,900 orang (ST2 2020: 791,800 orang), menyebabkan penurunan sebanyak 0.3 mata peratus kadar pengangguran kepada 4.8 peratus.

Meskipun begitu, bilangan penganggur kekal tinggi berbanding purata 500,000 orang yang direkodkan pada tempoh sebelum Covid-19.

Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada suku kedua 2021 naik 1.9 peratus mencatatkan 15.97 juta orang (ST2 2020: 15.68 juta orang) manakala bilangan yang
di luar tenaga buruh naik sebanyak 1.0 peratus merekodkan 7.42 juta orang (ST2 2020: 7.35 juta orang).

Pada suku tersebut, bilangan yang bekerja kurang 30 jam seminggu menurun kepada 474,100 orang (ST2 2020: 789, 600 orang).

Seterusnya, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa atau mereka yang mampu dan bersedia menerima tambahan jam bekerja berkurang kepada 329,700 orang (ST2 2020: 413,500 orang) dengan kadar 2.2 peratus (ST2 2020: 2.8%).

Sementara itu, penduduk bekerja berpendidikan tertiari dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran naik kepada 1.85 juta orang (ST2 2020: 1.67 juta orang).

Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kekal tinggi pada 37.7 peratus (ST2 2020: 36.5%) menunjukkan isu struktur yang berlarutan dari segi ketidaksepadanan kemahiran.

Dari sudut permintaan buruh, Mohd Uzir berkata, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi bertambah baik dengan penyusutan tahun ke tahun yang lebih kecil sebanyak 0.4 peratus berbanding negatif 1.7 peratus pada suku sebelumnya mencatatkan sejumlah 8.35 juta (ST2 2020: 8.38 juta).

Dalam tempoh yang sama, jawatan diisi yang merangkumi 97.9 peratus atau bersamaan dengan 8.17 juta berkurang 0.5 peratus (ST2 2020: 8.21 juta).

Peluang pekerjaan atau kekosongan jawatan yang merangkumi 2.1 peratus daripada jumlah jawatan, naik 5.0 peratus kepada 178,000 berbanding 169,500.

Pada suku kedua 2021, bilangan pewujudan jawatan meningkat 18.3 peratus dengan sejumlah 16,200 jawatan, setelah merekodkan bilangan terendah sebanyak 13,700 jawatan pada suku kedua tahun lepas.

Merumuskan prestasi pasaran buruh bagi suku kedua 2021, beliau berkata, kedudukan pasaran buruh bertambah baik berbanding suku yang sama tahun sebelumnya apabila impak Covid-19 melanda negara buat pertama kalinya.

Namun, langkah kawalan yang merangkumi sekatan berterusan aktiviti ekonomi dan sosial telah dilaksanakan menjelang akhir suku kedua 2021 bagi melindungi kesihatan awam. – MalaysiaGazette