KUALA LUMPUR – Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kedua, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Hamid A. Abu Sulayman meninggal dunia di sebuah Hospital di Riyadh, Arab Saudi semalam.
Beliau meninggal dunia pada umur 85 tahun akibat penyakit yang dialaminya.
Allahyarham dilahirkan di Mekah, Arab Saudi pada tahun 1936 dan dilantik menjadi Rektor UIAM kedua dari tahun 1988 sehingga 1998.
Pada 2008, Allahyarham dianugerahkan Doktor Falsafah Kehormat dalam Pendidikan dari UIAM.
Sepanjang tempoh sedekad Allahyarham menjadi Rektor UIAM, beliau banyak terlibat dalam pembangunan akademik dan perkembangan kampus serta menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti yang terkemuka di dunia.
Allahyarham juga banyak menghasilkan jurnal-jurnal dan penerbitan buku ilmiah.
Presiden UIAM, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar buat UIAM sendiri.
“Allahyarham adalah seorang pemimpin yang berkaliber, beliau dianggap sebagai seorang bapa, pemikir, sarjana dan seorang yang suka bekerja dalam satu pasukan di dalam organisasi. Allahyarham juga mudah didekati dan banyak memberikan nasihat. Bagi pihak UIAM juga, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, pemergian Allahyarham adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan bagi warga UIAM serta alumninya juga turut bersedih kerana kehilangan seorang pemimpin dan guru yang sangat berdedikasi dalam menjalankan urusan pentadbiran dan dalam bidang akademik dan kesarjanaan.
“Kami seluruh warga UIAM merasa amat sedih dengan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, semestinya pemergian Allahyarham banyak memberikan kesan kepada Alumni, kakitangan dan pelajar UIAM. Sepanjang kepimpinan beliau, Allahyarham telah banyak meninggalkan legasi kepimpinan dan kini ia diteruskan,” katanya dalam kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette