KUALA LUMPUR – Altica Sdn. Bhd. (Altica) menyerahkan sumbangan 1,000 kit ujian Covid-19, Neutralizing Antibody bagi mengesan kehadiran antibodi peneutralan kepada barisan petugas hadapan yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) .
Pengarahnya, Dr. Asnawi Ahmad berkata, ujian tersebut penting bagi memastikan kadar antibodi peneutralan yang dihasilkan selepas dos vaksinasi lengkap sentiasa berada pada kadar yang optimum dan melindungi petugas barisan hadapan.
“Melalui sumbangan ini diharap dapat membantu petugas barisan hadapan HCTM memastikan mereka sentiasa mempunyai sistem imun yang optimum ketika membantu pesakit-pesakit dan juga lebih berjaga-jaga kepada ahli keluarga yang belum menerima vaksin pada persekitaran yang sentiasa berisiko kepada jangkitan.
“Kit ujian Covid-19 Neutralizing Antibody antara yang pertama di negara ini yang telah melalui ujian penilaian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), sebuah institusi dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Mei 2021 yang lalu,” katanya selepas majlis penyerahan di HCTM di sini semalam.
Sumbangan kit ujian vaksin yang bernilai lebih kurang RM40,000 itu diserahkan kepada Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid oleh Pengerusi Altica, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yassin.
Hadir sama, Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin.
Dr. Asnawi Ahmad menambah, melalui ujian penilaian di IMR, keputusan analisis terhadap Coretest mencapai tahap sensitiviti dan ketepatan sebanyak 100 peratus.
“Maknanya alat ini sangat sensitif dan spesifik secara kualitatif untuk mengetahui kehadiran antiobidi penutralan seseorang yang pernah dijangkiti virus Covid-19 atau telah mendapat kadar antibodi peneutralan yang cukup setelah pemberian vaksin lengkap.
“Cara penggunaanya juga mudah dengan hanya dua hingga tiga titis darah yang dititiskan di ruang sampel. Setelah itu cairan buffer sebanyak dua titis dimasukkan ke dalam ruang sampel yang sama supaya darah bergerak ke arah baris T untuk mendapatkan keputusannya dalam tempoh masa lebih kurang 10 ke 15 minit,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah HCTM, Dr. Razman ketika ditemui berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan tersebut untuk menilai keberkesanan antibodi penuetralan di dalam tubuh selepas menerima dos lengkap vaksin.
“Di zaman Covid-19 ini memang semua orang berisiko mendapat jangkitan dan melalui pemberian vaksin ia membantu kita mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan berbanding dengan mereka yang tidak menerimanya.
“Melalui ujian kit seperti coretests, walaupun bukan satu kemestian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi saya berpendapat ia salah satu ujian yang bagus digunakan sebagai ujian kendiri di mana rakyat boleh melakukan sendiri untuk mengesan keberkesanan vaksinasi.
“Walaupun ujian ini bersifat kualitatif berbanding dengan ujian kuantitatif yang dijalankan di makmal tetapi sekuarang-kurangnya kita tahu apabila mempunyai antibodi yang positif ia membantu melindungi diri daripada jangkitan covid.
“HTCM akan menggunakan kit ini sebaiknya dan mungkin kami akan setarakan dengan ujian-ujian klinikal yang berkaitan dengan penyiasatan antibodi terhadap covid,” katanya.
Coretests Neutralizing Antibody Test Kit boleh didapati di kebanyakan farmasi, kilinik dan hospital dengan harga jualan antara RM39 hingga RM49 seunit. – MalaysiaGazette