KUALA LUMPUR – Perbincangan Khas Raja- Raja Melayu bagi memilih pengganti Perdana Menteri yang baharu berakhir kira-kira pukul 4 petang tadi.
Kenderaan yang membawa Raja-Raja Melayu dilihat berangkat keluar dari Pekarangan Istana Negara pukul 4.22 petang bermula dengan Sultah Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ia kemudiannya diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang berangkat pulang pukul 4.25 petang.
Turut berangkat meninggalkan Istana Negara selepas itu, Pemangku Raja Muda Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah tiga minit kemudian.
Terakhir kenderaan yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dilihat keluar sejurus selepas itu.
Terdahulu, perbincangan khas tersebut bermula pukul 3 petang sebelum berakhir sejam kemudian. Tumpuan seluruh negara hari ini terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja.
Ia bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri baharu dan kerajaan, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perbincangan itu adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.
Difahamkan perbincangan itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas semalam. – MalaysiaGazette