Home Nasional KPDNHEP pantau pematuhan SOP dine-in

KPDNHEP pantau pematuhan SOP dine-in

Datuk Hasnol Zam Zam meninjau program RiVAC di Gurney Paragon di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 2,000 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan digerakkan menerusi Ops Samar bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti premis di bawah selian mereka.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kesemua pegawai dan anggota itu akan berpakaian preman untuk memantau 22 sub sektor perdagangan dan pengedaran yang baharu dibenarkan beroperasi menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Hasnol Zam Zam.

Jelas beliau, pembukaan sektor-sektor tersebut merupakan satu usaha dan tanggungjawab seimbang bagi merancakkan serta memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik.

Bagaimanapun, kata Hasnol Zam Zam, kelonggaran itu bukan satu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan dalam tempoh negara sedang dilanda wabak Covid-19.

“Tumpuan akan diberikan di kawasan hotspot yang menyediakan kemudahan dine-in serta premis perniagaan yang memerlukan pelanggan serta peniaga berhubung dalam jarak dekat seperti kedai gunting rambut, kedai cermin mata dan lain-lain.

“Kita akan menggerakkan penguatkuasaan bagi memastikan sektor-sektor yang dibuka ini mendapat sambutan dan dalam masa sama peniaga dan pelanggan patuhi SOP yang ditetapkan.

Orang ramai diingatkan untuk mematuhi SOP dine-in.

“Pegawai dan anggota yang berpakaian preman akan memerhatian keadaan peniagaan dilaksanakan sama ada peniaga semak aplikasi MySejahtera pelanggan sebelum dibenarkan masuk selain membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin untuk dine-in,” katanya selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnol Zam Zam menegaskan, program RiVAC kini dilaksanakan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka itu akan diperluas ke Kedah, Perak dan Pahang dalam masa terdekat.

“Kita masih perhalusi kapasiti dan jumlah majikan yang mahu menggunakan kemudahan pemberian vaksin Covid-19 kepada pekerja menerusi program RiVAC ini.

Hasnol Zam Zam melihat proses pemberian vaksinasi kepada peniaga di Gurney Paragon di sini, hari ini.

“Perbincangan lanjut dengan jawatankuasa vaksinasi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan dibuat berhubung cadangan pelaksaaan program ini di lokasi lain,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hasnol Zam Zam berkata, sejak pelaksanaan penguatkuasaan yang dijalankan KPDNHEP bermula 13 Mei tahun lalu hingga Khamis lepas, sebanyak 839 kompaun berjumlah RM4.45 juta ke atas mereka yang gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Berdasarkan statistik, pematuhan dalam sektor perdagangan dan pengedaran telah mencapai tahap memuaskan dengan 98.73 peratus.

“Hanya 0.08 peratus premis yang dikenakan kompaun dan 1.07 peratus telah diberi nasihat dan amaran,” kata beliau. – MalaysiaGazette