KUALA LUMPUR – Polis memperoleh perintah mahkamah melarang mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di ibu negara esok sepertimana dirancang pihak tertentu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima maklumat ada pihak tertentu mahu mengadakan perhimpunan atau perarakan.
Menurutnya, tindakan itu sebenarnya pada ketika ini adalah jelas melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di Kuala Lumpur walaupun pihak-pihak berkenaan mendakwa permohonan mengadakan perhimpunan telah dibuat di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Polis amat berharap masyarakat memahami faktor keselamatan kesihatan pada ketika ini adalah tidak menentu dan memungkinkan jangkitan berganda pada tahap yang luar biasa berlaku sekiranya masyarakat tidak mematuhi SOP PPN.
“Selain itu, Polis Kuala Lumpur juga ingin menghebahkan kepada masyarakat berkenaan Perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2021 berkenaan larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek (termasuk kawasan sekitar yang berada dalam radius 1 kilometer) serta perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekretariat Solidariti Rakyat tetap mahu teruskan Himpunan Lawan
Tambah Azmi, pihak yang merancang perkara itu dilarang dan diberikan amaran untuk tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perarakan atau perhimpunan.
Pun begitu, jelasnya, pihaknya berharap semua masyarakat faham tentang pentingnya mematuhi SOP PPN dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan mengelakkan berada di dalam kelompok yang ramai agar bersama-sama kita dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.
“Seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih berada di dalam tempoh PPN Fasa 1 yang berkuatkuasa bermula pada 29 Jun dan pada 20 Ogos 2021, bilangan kes baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah 1676 dengan nilai kebolehjangkitan (R-naught) pada kadar 0.95.
“Justeru, pihak polis mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP PPN yang ditetapkan agar kita dapat mengelakkan diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19.
Awal Ogos ini, sekumpulan aktivis muda Sekretariat Solidariti Rakyat sebelum ini menggertak pihak berkuasa dan kerajaan dengan hasrat untuk turun beramai-ramai berhimpun di Dataran Merdeka esok sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak turun dari jawatannya dengan mendakwa kerajaan di bawah kepimpinannya gagal mengawal Covid-19.
Namun dalam perkembangan terbaharunya, sekretariat itu dilaporkan sudah membatalkan perancangan tersebut selepas Muhyiddin berundur. – MalaysiaGazette