KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan jemaah menteri di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dijangka tidak banyak berubah kerana ia akan diisi dalam kalangan 114 ahli Parlimen yang sama menyokong Datuk Seri Ismail Sabri.
Itu ulasan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
“Kerja dan agenda semua tergendala yang bertukar tempat bertukar jawatan bertukar portfolio beberapa orang sahaja.
“Saya tidak fikir wujud kerajaan baharu yang semua sekali tukar (barisan Kabinet). Nak dilantik dalam kalangan 114 ini juga, yang dijatuhkan dulu 114 ini juga, kita pi mai pi mai tang tu juga,” katanya katanya selepas merasmikan misi kemanusian banjir ke Kedah ‘Rumah Prihatin’ di sini hari ini.
Justeru, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menasihati ahli-ahli Parlimen supaya mengambil sikap bertanggungjawab jangan suka ‘melompat’ dari satu parti ke parti lain.
Beliau juga mahu wakil rakyat perlu berhenti melakukan ‘ugutan’ politik demi kepentingan dan agenda peribadi.
Jelas beliau, mereka sepatutnya malu kepada diri sendiri dan rakyat di luar sana kerana sudah beberapa kali tukar kerajaan dalam tempoh begitu singkat.
“Pada saya, ahli Parlimen semua tidak perlulah buat ugutan, lompat sana sini atau gunakan satu kerusi yang ada itu. Kita sebenarnya sedang menggangu kestabilan.
“Ingat ya, rakyat pilih kita bukan untuk ganggu kestabilan tetapi untuk bekerja.
“Jangan salah guna mandat rakyat untuk tujuan salah, rakyat sedang perhatikan kita semua, jika mereka tengok kita sebagai ‘pengacau’ maka mereka tidak akan sesekali pilih kita pada pilihan raya akan datang.
“Kita sudah beberapa kali tukar tukar kerajaan, cukup-cukuplah. Kita kena malu dengan diri sendiri dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette