KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada separuh kedua tahun ini berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang kukuh pada suku kedua tahun ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun optimis dengan keadaan semasa tetapi terdapat banyak ketidakpastian.
Lantaran itu, ekonomi dijangka sederhana pada separuh kedua tahun ini katanya ketika ditemui di Forum Perniagaan Pertama Asia 2017.
Menurut beliau, unjuran KDNK kekal pada 4.0 hingga 5.0 peratus.
“Kami menyedari beberapa agensi meramalkan pertumbuhan lebih baik, lebih tinggi daripada unjuran kerajaan.
“Tetapi kita baru berada selama enam minggu dalam pertengahan kedua dan ada banyak masa lagi. Kita tunggu bajet baharu,” tambah beliau.
Mustapa berkata, kementeriannya masih mengekalkan unjuran pertumbuhan perdagangan keseluruhan sebanyak 5.0 peratus pada tahun ini, selain pelaburan langsung asing (FDI) yang teguh.
Katanya, FDI kekal kukuh dipacu oleh pelaburan dari Eropah dan China. – MalaysiaGazette