ISKANDAR PUTERI – Ekonomi Johor diunjur berkembang antara 3 hingga 5 peratus pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Katanya, ia berdasarkan semakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 3 hingga 4.0 peratus untuk tempoh yang sama yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.
“Ekonomi negeri pada tahun 2021 kekal pada pemulihan yang didorong oleh beberapa faktor seperti kadar vaksinasi Johor yang semakin meningkat, sekali gus membenarkan Johor untuk fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya pada Mesyuarat Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini.
Sebelum ini, bank puat itu mengunjurkan ekonomi negara pada tahun ini berkembang antara 6.0 hingga 7.5 peratus.
Pada 13 Ogos lalu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata unjuran pertumbuhan baharu itu adalah lebih rendah berbanding dengan julat pertumbuhan yang diumumkan sebelum ini kerana sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara.
Menurut Hasni, sektor ekonomi yang dibuka secara beransur-ansur akan memulihkan sentimen isi rumah dan perniagaan.
Selain itu, tambah beliau, pakej rangsangan ekonomi (PRE) Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 telah berjaya memberi sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.
Pada tahun lalu, Johor merekodkan penguncupan ekonomi kepada 4.6 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus di peringkat nasional.
Hasni berkata, ekonomi Johor bernilai RM128 bilion pada 2020 iaitu penurunan sebanyak 6.2 bilion.
“Namun Johor buat pertama kali merekodkan KDNK ketiga tertinggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor turut berjaya mengatasi Sarawak dari segi sumbangan kepada KDNK nasional iaitu pada kadar 9.5 peratus.
“Tambahan juga Johor menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK pertanian di Malaysia dengan sumbangan sebanyak 17.0 peratus yang pertama kalinya mengatasi Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis.
Malah, katanya, sektor pertanian merekodkan pertumbuhan 3.1 peratus walaupun keseluruhan ekonomi menguncup semasa pendemik Covid-19. – MalaysiaGazette