Home Nasional Lelaki maut tercampak keluar dari kereta

Lelaki maut tercampak keluar dari kereta

Logo Bomba

CYBERJAYA – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di kilometer P5.1 Lebuhraya Elite, Putrajaya Link di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, Mohamad Rashid Mohamad Said berkata, siasatan awal mendapati dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, kereta jenis Honda City yang dipandu Ong Ka Hou, 26, terbabas ke bahu kanan lebuh raya sebelum terbakar 100 peratus.

“Akibat kemalangan itu, mangsa, Ong, yang beralamat di Ulu Yam Baru, Selangor, tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.

“Rakan mangsa yang cedera pula telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya.

Mohamad Rashid berkata, rakan mangsa yang cedera dan belum dikenal pasti identitinya kerana dokumen pengenalan diri terbakar di dalam kereta itu, telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.

“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada 10.18 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada 11.15 pagi,” katanya sambil menambah jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.

Mayat mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Bernama