Home Nasional Malaysia tambah enam juta dos vaksin

Malaysia tambah enam juta dos vaksin

Pekerja sektor pembuatan menerima suntikan vaksin di tapak pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah menambah enam juta dos untuk vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia.

“Demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka saya umumkan pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini.

“Pandemik Covid-19 adalah musuh kita semua. Mengambil kira situasi getir pandemik Covid-19 dunia, umum mengetahui bahawa varian wabak ini sentiasa berevolusi,” katanya menerusi ucapan pertama sebagai Perdana Menteri  hari ini.

Beliau berkata, bermula daripada varian alpha kepada beta, dan yang terkini ialah varian lambda, strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasa serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar Kesihatan Awam negara.

“Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari.

“Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

“Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat,” katanya.

Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin.

“Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia.

“Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian,” katanya.

Jelas beliau lagi, dengan itu ia akan dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu.

“Oleh sebab itu, kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.

“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,” jelasnya.

Beliau berkata, semua dilakukan secara lebih komprehensif dan bakal dilaksana melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

“Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19.

“Ini kerana fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut,” tambahnya. – MalaysiaGazette