ISKANDAR PUTERI – Pengecualian bayaran lesen penjaja dan peniaga perusahaan kecil sederhana (PKS) tahun lalu menyebabkan kutipan hasil yang diperoleh negeri ini merosot, tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, jumlah kutipan hasil lesen PBT di negeri ini adalah lebih RM64 juta setiap tahun sebelum ini.
Namun, lebih RM32 juta kutipan hasil lesen PBT diperoleh sudah diterima tahun ini bermula awal tahun lalu hingga 31 Julai lalu.
“Hasil bayaran lesen PBT telah menyumbang antara 30 hingga 35 peratus daripada hasil bukan cukai negeri Johor. Ia melibatkan beberapa kategori, antaranya lesen perniagaan, lesen iklan, lesen pasar dan lesen penjaja.
“Faktor lain yang menjadi penurunan kutipan hasil lesen disebabkan PBT di negeri ini tidak mengenakan sebarang denda lewat atau kompaun kepada mana-mana peniaga yang lewat atau gagal memperbaharui lesen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Pertama,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Choong Sin (DAP) berhubung jumlah cukai PBT yang dikutip tahun lalu dan tahun ini pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di sini hari ini.
Ayub yang juga ADUN Rengit berkata, jumlah lesen perniagaan serta penjaja yang berdaftar dengan PBT di Johor kini adalah sebanyak 147,135 lesen, setakat 31 Julai lalu.-MalaysiaGazette