KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjanji akan terus bekerja dan berkhidmat mengangkat agenda rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, beliau menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menunjukkan keprihatinan baginda terhadap rakyat negeri itu.
“Saya menjunjung kasih titah Tuanku yang telah berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor yang ke-14 Tahun 2021, hari ini.
“Titah Tuanku menyentuh banyak persoalan mengenai krisis kesihatan, ekonomi dan politik, sekali gus menunjukkan keprihatinan baginda terhadap rakyat Selangor.
“Patik akan terus bekerja dan berkhidmat demi mengangkat agenda rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Selangor,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor pagi ini, menzahirkan rasa dukacita dengan peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat Covid-19 di negeri itu.
Ini berikutan kelalaian semua pihak terhadap penguatkuasaan dan pematuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut baginda, keadaan itu juga disebabkan kurangnya penguatkuasaan oleh pihak penguatkuasa dan masyarakat mengambil ringan pematuhan SOP khususnya apabila beberapa sektor ekonomi dibuka pada Mei lalu.
“Beta tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit Covid-19 ini.
“Apabila pasar-pasar malam dan pasar Ramadan dibuka, rakyat dilihat beramai-ramai berkunjung di pasar-pasar tersebut tanpa mengambil berat tentang keperluan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka,” titah baginda. – MalaysiaGazette