KUALA LUMPUR – Destinasi baharu Liridon Krasniqi akhirnya terjawab selepas pemain naturalisasi kedua negara itu sah menyertai kelab Hero Liga Super India, Odisha FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi musim 2021/22.
Berita mengenai pemain skuad kebangsaan itu telah diumumkan secara rasmi oleh laman web kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar semalam.
“Saya berharap dapat menikmati musim yang hebat berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Kiki Ramirez. Saya juga tidak sabar untuk memulakannya dan berjumpa rakan sepasukan di OFC,”kata pemain itu di laman web itu.
Sementara itu, Ramirez melihat pemain tengah berusia 29 tahun itu mampu memberikan sumbangan berkesan buat kelab tersebut.
“Liridon akan memberikan karakter, sikap dan intensiti buat pasukan kami. Dia merupakan pemain dengan kemampuan fizikal tinggi dan mempunyai teknik yang cukup baik.”
“Dia merupakan pemain tengah ‘box-to-box’ yang boleh membantu kami dari kedua-dua aspek menyerang dan bertahan serta dia akan memberikan kami tenaga yang diperlukan oleh pasukan ini untuk bersaing dalam keseluruhan 90 minit perlawanan,” katanya.
Saingan Hero Liga Super India 2021/21 dijadualkan bakal bermula pada 19 November dimana saingan tersebut menampilkan 11 pasukan bertanding. – MalaysiaGazette