KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan kata-kata semangat kepada bersama atlet Paralimpik negara yang akan beraksi dalam temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi hari ini.
“Saya menyatakan kebanggaan saya dan seluruh rakyat Malaysia kepada mereka (atlet Paralimpik) kerana mewakili negara.
“Saya berdoa agar Jalur Gemilang dapat berkibar dan lagu Negaraku dapat dimainkan lagi untuk meraikan kejayaan mereka di sana. Walau apapun doa saya adalah untuk mereka pulang kepada kita ‘Keluarga Malaysia’ dengan selamat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Ismail Sabri mahu atlet Paralimpik tahu mereka adalah juara di hati setiap rakyat Malaysia walau apa pun jua pencapaian mereka nanti.
Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan membuka tirai secara rasmi hari ini sekali gus menandakan bermulanya perjuangan atlet para negara bagi memburu tiga pingat emas yang ditetapkan sebagai sasaran.
Upacara pembukaan temasya yang ditangguhkan selama setahun itu susulan pandemik Covid-19 akan berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo malam ini.
Kontinjen negara kali ini dibarisi 22 atlet yang akan bersaing dalam sembilan jenis sukan di temasya berprestij dunia itu.
Lima atlet iaitu dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badminton para, Cheah Leik Hou, atlet memanah, S. Suresh dan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin diletakkan sebagai sandaran utama bagi merealisasikan sasaran tiga emas kontinjen negara.
Ketua kontinjen negara adalah Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin manakala kontinjen yang akan menyertai upacara pembukaan hari ini bakal diketuai Bonnie dan atlet olahraga para, Siti Nooriasah Mohamad Ariffi sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Bonnie adalah seorang atlet Bidayuh dari Sarawak manakala Siti Nooriasah pula atlet wanita Melayu.
Bonnie juga memegang status selaku juara dunia dan pemegang rekod dunia kategori 72 kilogram (kg) ke atas manakala Siti Nooriasah meraih tempat keempat acara 400 meter wanita T20 (masalah pembelajaran) di edisi Rio 2016.
Pada edisi Rio 2016, kontinjen para negara berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.
Emas disumbangkan Ziyad dalam acara lontar peluru, Abdul Latif (lompat jauh) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter) manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita).
Sebagai rekod, Malaysia yang mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan sudah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.
Pada edisi Sukan Paralimpik kali ini, seramai 4,400 atlet dari seluruh dunia bertanding dalam 22 jenis sukan dengan 539 acara yang diadakan di 21 venue berbeza di seluruh Tokyo bermula hari ini hingga 5 September ini. – MalaysiaGazette