BATU PAHAT – Hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan pertembungan fenomena air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Batu Pahat dilanda banjir kilat sedalam 0.8 meter pada pagi tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Batu Pahat, Leftenan Mohd. Faezie Abdul Aziz berkata, antara kawasan yang terjejas adalah pusat bandar Batu Pahat, Taman Sri Wangsa, Taman Flora dan Taman Pelangi.
“Untuk pengetahuan keadaan sehingga jam 10 pagi tadi di mana hujan separa lebat dan setakat ini tiada pusat pemindahan yang dibuka.
“Keadaan itu juga menyebabkan air pasang setinggi 1.4 meter pada jam 8 pagi tadi sehingga mengakibatkan limpahan air ke kawasan yang terlibat dan kawasan berkenaan juga berhampiran dengan muara Sungai Simpang Kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya dan agensi berkaitan akan terus melakukan pemantauan keadaan dan cuaca dari semasa ke semasa termasuk di tempat-tempat rendah yang berisiko.
“Saya menasihatkan orang awam agar pastikan anak-anak dalam pengawasan.
“Sekiranya berlaku banjir segeralah menghubungi agensi terlibat,” katanya.
Sementara itu, difahamkan lebih 300 penduduk di Taman Sri Wangsa, Taman Pelangi dan Taman Flora bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku malam ini.
Sejak awal pagi tadi, tular video banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Batu Pahat bagaimanapun keadaan semakin baik pada pukul 4.30 petang.
Sementara itu, menurut kenyataan APM, pihaknya diarahkan untuk besiap siaga di semua daerah bagi menghadapi banjir. di Johor – MalaysiaGazette