Home Pendapat Kepelbagaian kulinari etnik tarikan pelancongan Sarawak

Kepelbagaian kulinari etnik tarikan pelancongan Sarawak

Ayam pansuh hidangan paling popular di Restoran Lepau.

EKORAN situasi pandemik, pasti ramai yang rindu untuk melancong, melawat lokasi-lokasi baru, mencuba makanan enak setiap di setiap lokasi yang dikunjungi dan menghirup udara segar di persekitaran yang berbeza. Apabila kebenaran merentas dibuka kelak, di manakah lokasi pilihan pertama anda? Ayuh kita kunjungi lokasi-lokasi dalam negara dan mencuba sesuatu yang baru. Sudah pasti masih banyak budaya yang tidak kita ketahui, terutamanya budaya kaum etnik seperti Orang Ulu dan Dayak di
Bumi Kenyalang, Sarawak.

Sarawak merupakan destinasi yang menarik untuk diterokai kerana kaya dengan sejarah serta budaya masyarakat pelbagai suku kaum. Selain mempromosikan kepelbagaian khazanah flora dan fauna, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) turut giat mempromosikan kulinari etnik Sarawak.

Kepelbagaian etnik

Jika anda ingin mengenali pelbagai hidangan tradisional masyarakat etnik Sarawak terutamanya Orang Ulu dan Dayak, Restoran Lepau yang terletak di Jalan Ban Hock, Kuching adalah satu lokasi yang mesti dikunjungi. Antara menu yang terdapat di Restoran Lepau adalah Nasi Adan Merah yang dimasak di dalam daun itun sip (daun halia liar), ayam pansuh, pelbagai hidangan sayur tepus (Red Gingerwort), terung asam Dayak (Solanum lasiocarpum Dunal) dan sayur midin.

Bukit Mata Seafood telah beroperasi sejak 30 tahun dahulu.Nasi Adan Merah, yang berwarna kecoklatan, merupakan nasi dari Bario yang dimasak di dalam daun itun sip atau daun halia liar. Nasi ini agak melekit seperti pulut dan dimakan bersama lauk-pauk lain. Ayam pansuh atau manok pansuh pula adalah ayam yang dimasak di dalam buluh bersama serai, sayur tepus dan ditutup dengan daun ubi. Hidangan ini amat popular semasa majlis perayaan terutama hari Gawai.

Pengusaha Restoran Lepau, Marichelle Livan Lah, memberitahu ayam pansuh merupakan antara hidangan yang digemari oleh ramai pengunjung di restoran ini. Majoriti pengunjung di restorannya adalah pelancong luar yang ingin merasai keistimewaan dan keenakan makanan etnik Sarawak. “Restoran Lepau, yang bermaksud pondok dalam bahasa Kayan, mula beroperasi pada tahun 2014. Seni reka dalamannya dihiasi dengan kraftangan kaum Kayan untuk mewujudkan suasana kampung asli kaum Kayan,” katanya. Restoran ini juga telah menerima Anugerah Restoran Etnik Inovatif Terbaik pada Anugerah Perlancongan Malaysia ke-20 pada tahun 2018.

Makanan laut

Selain daripada makanan etnik, Sarawak juga terkenal dengan makanan laut yang segar dan murah. Bagi penggemar makanan laut, antara lokasi terbaik adalah Medan Selera Top Spot yang terletak di Taman Kereta (Jalan Green Hill), Kuching. Menurut pengurus Bukit Mata Seafood 25 yang merupakan salah satu gerai di Top Spot, Jong Sze Fui, 40, Top Spot merupakan lokasi wajib untuk pelancong ke Sarawak. Beliau kini menguruskan
perniagaan keluarganya yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu, bermula dengan sebuah gerai kecil di Permata Car Park sebelum berpindah ke Medan Selera Top Spot.

Keropok oyster merupakan antara menu wajib pengunjung di Restoran Mata Seafood.

“Top Spot menawarkan pelbagai jenis makanan laut dan istimewanya, pelanggan boleh memilih sendiri makanan laut dan juga sayuran untuk kami masak dengan harga yang berpatutan.” “Pelbagai kaum datang menjamu selera di sini dan makanan yang dihidangkan tertakluk kepada peraturan persijilan halal yang dikeluarkan oleh JAKIM,” kata Sze Fui.

Bagi memastikan hidangan makanan laut sentiasa segar, Sze Fui akan memastikan bahan mentah seperti ikan, udang dan ketam suri yang digunakan adalah hasil tangkapan awal para nelayan di Asajaya, Buntal, Bako, Rambungan dan Pasir Pandak. “Antara makanan yang paling popular di restoran kami adalah ketam mentega bersalut telur masin dan juga keropok tiram,” katanya.

Selera Semenanjung

Bagi penggemar makanan-makanan Semenanjung seperti makanan Utara dan Selatan, anda boleh berkunjung ke Serapi Garden Café (SGC) yang terletak di Jalan Satok, Kuching. Suasana kafe yang selesa, dengan susun atur dekorasi yang menarik, pasti memberikan kenangan yang terindah. Menurut Pengurus SGC, Narita Boyeng, konsep asal SGC adalah tertumpu kepada sajian masakan Utara dan Barat. Namun, ekoran pandemik, mereka telah mempelbagaikan menu berasaskan masakan secara panggang dan salai, sesuai untuk citarasa tempatan dan barat.

Ketam telur masin merupakan hidangan paling popular di Restoran Mata Seafood.

“Menariknya, pengunjung dapat melihat sendiri teknik salai asli di SGC kerana proses salai dilakukan dengan menggunakan rumah salai yang diperbuatkan khas untuk menyalai.” “Kami menggunakan resepi yang asli dari Semenanjung dan teknik untuk menyalai daging, ayam atau itik mengikut teknik salai asli seperti yang terdapat di Negeri Sembilan,” katanya.

Pandemik

Kesan daripada situasi pandemik, perniagaan pengusaha-pengusaha restoran terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang makan di kedai (dine-in) yang menyebabkan pendapatan menyusut dan kurang menerima pelanggan. Namun, Sze Fui memberitahu, Kerajaan Negeri Sarawak memahami keadaan peniaga kecil di Top Spot dan telah memberi pengecualian bayaran sewa bermula April 2020 sehingga Disember 2021. “Peniaga perlu mempelbagaikan perkhidmatan antaranya membuat penghantaran, dan juga menggunakan khidmat Grab Food, Food Panda dan ejen lain untuk menaikkan hasil jualan setiap bulan,” katanya.

Selain itu, pengusaha restoran juga perlu kreatif dalam mencipta peluang perniagan baru seperti Serapi Garden Café yang kini sudah menjual makanan sejuk beku Serapi Salai untuk pasaran di Kuching.