Home Nasional Longkang besar runtuh bimbangkan penduduk di Jalan Bakawali 77

Longkang besar runtuh bimbangkan penduduk di Jalan Bakawali 77

Mendapan tanah di Jalan Bakawali 77, Taman Johor Jaya.
JOHOR BAHRU – Hujan lebat berterusan semalam mengakibatkan longkang sepanjang lima meter di runtuh dan berlaku mendapan tanah di kawasan terlibat.
Keadaan ini mencetuskan kebimbangan penduduk di lebih 10 buah rumah berhampiran.
Ketua Kejiranan Rukun Tetangga Wanita, Nor Asyikin Mazlan, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga berhampiran kawasan tersebut.
Nor Asyikin Mazlan
Ketika kejadian, dia yang sedang berniaga berhampiran kawasan tersebut.
Katanya, walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku namun kejadian ini mencetuskan keresahan penduduk  setiap kali hujan lebat.
“Ni sebenarnya longkang besar utama dan inilah yang risaukan kami terutama penduduk yang tinggal berhadapan longkang ini.
“Bila hujan dan berlaku mendapan kita risau harta-harta seperti kereta terjejas,”katanya ketika ditemui di sini.
MalaysiaGazette mendapati mendapan besar itu boleh membahayakan pengguna jalan raya jika ia tidak dibaiki segera.
Ini kerana, jalan raya itu terletak bersebelahan dengan struktur runtuhan.
Selain itu, jalan raya utama ini adalah simpang yang sibuk dengan kenderaan sama ada kenderaan berat mahupun ringan.
“Kami bimbang sekiranya dibiarkan, akan menjadi mendapan tanah di bahagian jalan raya dan juga kawasan rumah penduduk.
“Bila berlaku hujan lebat, air longkang ini akan deras. Mungkin disebabkan tanah yang lembik dan juga keadaan longkang lama menjadi faktor ia runtuh,” katanya lagi.
Beliau yang juga peniaga di Jalan Bakawali 75 berkata, bahagian struktur yang runtuh itu juga adalah laluan pejalan kaki bagi pelajar sekolah sewaktu sesi persekolahan.
“Saya berharap pihak berwajib dapat membantu kami membina semula atau membaiki struktur longkang demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya,” katanya.
Chan San San
Sementara itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Chan San San berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada pengarah kejuruteraan MBJB berhubung kejadian ini.
Katanya buat sementara waktu, kon akan diletakkan di bahagian jalan raya utama sebagai tanda amaran kepada orang ramai.  MalaysiaGazette