Home Utama Kawasan operasi SAR 10 kru kapal AS diperluas

Kawasan operasi SAR 10 kru kapal AS diperluas

KOTA TINGGI – Kawasan operasi mencari dan menyelamat 10 kru kapal pemusnah Amerika Syarikat, USS John S McCain, yang hilang dalam pelanggaran dengan sebuah kapal dagang dekat sini semalam, diperluas kepada 352 batu nautika hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan Laksamana Maritim Datuk Adon Shalan berkata pada hari kedua operasi ini, kawasan pencarian ditambah lima sektor lagi menjadikan keseluruhan sembilan sektor berbanding empat sektor semalam merangkumi 100 batu nautika.

Adon berkata operasi hari ini bermula 7 pagi dengan penglibatan 310 anggota dan 11 aset berbanding hanya lima semalam.

“Aset-aset itu terdiri daripada tiga kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, sebuah kapal dan dua bot APMM, dua bot Jabatan Laut dan tiga bot Polis Marin.

“Operasi turut melibatkan pihak Indonesia yang menghantar empat kapal, masing-masing dua daripada Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut dan Badan SAR Nasional (Basarnas) untuk melakukan pencarian di kawasan perairan mereka sendiri,” katanya kepada media di Jeti Marina Tanjung Pengelih, Pengerang, di sini, hari ini.



Menurut Adon, operasi turut dibantu tiga helikopter melibatkan satu masing-masing milik APMM, TDM dan Tentera Darat Malaysia yang melakukan pemantauan udara meliputi kawasan 488 batu nautika.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencarian hari ini sedikit sukar kerana cuaca mendung dengan ketinggian ombak mencapai 1.5 meter dan angin bertiup antara 20-30 km/sejam.

Katanya, pihaknya juga telah menghebahkan maklumat kejadian kepada Jabatan Laut dan persatuan-persatuan nelayan untuk membantu operasi pencarian di kawasan pesisiran pantai serta laluan kapal dagang.

“Sesiapa yang terjumpa sebarang petanda, mayat atau apa-apa, sila maklumkan kepada kita kerana semalam, mengikut pemantauan di udara, kita ternampak seperti ada serpihan tetapi bukan,” katanya.

Kapal USS John S McCain itu berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia kira-kira 5.40 pagi, menyebabkan lima kru kapalnya cedera manakala 10 lagi jatuh ke dalam laut dan hilang.

Kejadian berlaku di kedudukan 4.5 batu nautika perairan Teluk Ramunia di sini.- BERNAMA