BAYAN LEPAS – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta semua pihak berkaitan untuk mengkaji semula operasi kuari di Sungai Ara, di sini yang didakwa mengancam keselamatan penduduk setempat.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, aktiviti kuari yang beroperasi di Mukim 12, daerah Barat Daya itu berada sangat hampir iaitu 200 meter dengan beberapa buah kawasan perumahan, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada ribuan penduduk di sini.
Jelas beliau, penduduk sering berhadapan dengan aktiviti pemecahan bongkah batu sehingga menyebabkan kawasan perumahan tersebut mengalami pelbagai insiden.
Disebabkan itu, kediaman penduduk mengalami kerosakan termasuk keretakan pada dinding rumah, lantai serta habuk.
Malah, penduduk mendakwa batu pernah melantun ke dalam rumah mereka.
“Penduduk juga bimbang lori-lori yang membawa muatan bahan batu kuari itu menggugat keselamatan pengguna jalan raya.
“Selain itu, mereka kerap mendengar letupan kuat yang dipercayai dari projek kuari batu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Meenakshi, penduduk di kawasan Stramax Residences, Setia Pulau Mutiara I, II dan III telah menghantar surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada bulan Julai lalu untuk menyuarakan bantahan terhadap operasi kuari tersebut.
“Penduduk juga telah membuat aduan, bantahan, menghadiri mesyuarat dengan pihak berkuasa sejak beberapa bulan yang lalu tetapi kesal kerana tindakan tegas tidak diambil dan mereka masih berhadapan dengan masalah dari operasi kuari itu.
“Mereka (penduduk) mengharapkan operasi kuari ini dapat diberhentikan segera seperti mana kuari di Juru diberhentikan operasinya baru-baru ini.
“Sehubungan itu, SAM menggesa agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak berkenaan memandang serius ke atas bantahan penduduk dan operasi kuari yang berhampiran kawasan penempatan perlu dihentikan segera sebelum berlaku sebarang tragedi,” ujar Meenakshi.
Sementara itu, penduduk Setia Pulau Mutiara, Askin Meera, 55, berkata, laporan polis juga sudah dibuat pada Februari lalu mengenai letupan kuat yang menggegarkan kejiranan berkenaan namun ia masih dalam siasatan.
“Rumah saya antara yang paling hampir dengan kawasan itu dan kami juga diancam kejadian tanah runtuh pada bulan lepas.
“Walaupun ia hanya kejadian kecil, namun kita tidak menolak kemungkinan bahawa ia adalah petanda sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini. – MalaysiaGazette