Home Politik Cabar Pas mengaku Memali berpunca dari ‘Amanat Hadi’

Cabar Pas mengaku Memali berpunca dari ‘Amanat Hadi’

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mencabar PAS sama ada berani mengakui punca kepada tragedi Memali itu sebenarnya berpunca daripada ‘Amanat Hadi’ seperti yang didedahkan dalam laporan Kertas Putih 1986.

Naib Ketua Pemuda PAN, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, sekiranya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan, semua aspek perlu diambilkira termasuk  ‘Amanat Hadi’ yang didakwa punca kepada ketaksuban ahli-ahli parti Islam melawan pemerintah.

“Persoalan yang Pemuda AMANAH mahu timbulkan di sini, beranikah Pas menuntut suatu RCI yang telus dan menyeluruh merangkumi aspek punca dan elemen-elemen asas yang mendorong ke arah tragedi tersebut?

“Pada hemat kami, keseluruhan aspek ini penting untuk disiasat memandangkan pihak kerajaan telah pun membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di Parlimen pada tahun 1986,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Shazni, laporan itu secara jelas menunjukkan tragedi itu berpunca daripada ketaksuban terhadap ‘Amanat Hadi’ malah diakui sendiri oleh seorang pengikut Ibrahim Mahmud atau dikenali Ibrahim Libya yang terbunuh semasa insiden itu.

“Menurut perenggan 15, 16 dan 17 Kertas Putih Memali, tragedi Memali dipercayai berakar daripada ketaksuban terhadap ‘Amanat Haji Hadi’, merujuk kepada pidato Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong pada tahun 1981.

“Bahkan lebih spesifik dalam perenggan ke-17, Muhamad Yusof Husin mengakui bahawa dirinya berpegang teguh dengan amanat itu dan berfahaman bahawa orang-orang UMNO itu kafir,” ujarnya.

Menurut Shazni, Pemuda PAN menuntut beberapa perkara dalam RCI tersebut jika mahu ia diteruskan.

“Jika RCI tersebut tetap mahu ditubuhkan, siasatan perlu meliputi aspek-aspek penting berikut, pertama, punca yang mendorong ke arah tangkapan allahyarham Ibrahim Libya, kedua, punca yang menyemarakkan kegiatan takfiri ketika itu.

“Ketiga, keganasan tindakan polis, keempat, langkah kerajaan membendung fenomena takfiri dan kesan ‘Amanat Haji Hadi’ dan langkah pencegahan,” katanya.- MalaysiaGazette