Home Nasional Mahkamah kekalkan tarikh perbicaraan Zahid pada 6 September ini

Mahkamah kekalkan tarikh perbicaraan Zahid pada 6 September ini

RMK12 100 days KPI Ismail Sabri spine injury Yayasan Akalbudi corruption trial Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi court subpoena specialist doctor Dr Mohd Shahir Anuar from Avisena Specialist Hospital
Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan perbicaraan kes dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 6 September ini akan diteruskan tanpa sebarang tarikh baharu.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah menetapkan keputusan itu selepas doktor yang merawat Ahmad Zahid, Dr Mohd Shahir Anuar mengesahkan Presiden UMNO itu itu boleh menghadiri perbicaraan itu.

Terdahulu, Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam itu menyatakan, lazimnya, tempoh pemulihan bagi kecederaan tukang belakang itu mengambil masa antara dua hingga empat minggu.

Bagaimanapun dalam kes Ahmad Zahid, Dr Mohd Shahir menjangka tempoh pemulihan mengambil masa antara empat hingga enam minggu.

Menurutnya, pesakit tidak boleh duduk statik terlalu lama, hanya 30 ke 45 minit sahaja dan kemudian perlu bangun untuk meregangkan badan dan kemudian boleh kens duduk semula.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan sapina kepada seorang doktor pakar dari Hospital Pakar Avisena Shah Alam supaya hadir memberi penjelasan keadaan kesihatan Ahmad Zahid selepas tertuduh tidak hadir prosiding kes rasuahnya, semalam.

Collin mengarahkan sapina itu dikeluarkan kepada Dr Mohd Shahir supaya tampil menjelaskan mengenai prosedur perubatan dilakukan ke atas Ahmad Zahid serta tempoh diperlukan tertuduh untuk pulih sepenuhnya.

Semalam, peguambela Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak hadir kerana perlu menjalani prosedur pain intervention di hospital.

Beliau berkata, Ahmad Zahid mengalami kecederaan akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, peguambela Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh berkata, pihaknya telah meminta mahkamah untuk menyediakan kerusi yang sesuai untuk pesakit tulang belakang pada tarikh perbicaraan kes itu, 6 September nanti.

“Mahkamah kata dia akan uruskan, mahkamah akan cuba sedaya upaya untuk tengok apa yang dia boleh buat, mungkin dapatkan kerusi yang lain.

“Kerusi dalam kandang tertuduh itu adalah kerusi kayu, ia tidak sesuai untuk orang yang sakit belakang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette