KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia mengkaji skim yang sesuai untuk diberikan kepada anggota yang bersara awal tanpa menerima pencen.
Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, kajian menyeluruh berkenaan perkara tersebut sedang dijalankan bagi membantu anggota yang bersara awal dapat meneruskan kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.
Katanya, terdapat veteran yang berhenti awal pada usia 40-an dan komitmen mereka masih panjang termasuk anak yang masih bersekolah serta ansuran rumah dan kereta yang belum selesai dibayar.
“ATM akan mengkaji skim sesuai diberikan kepada mereka ini supaya veteran tidak menjalani kesukaran hidup,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada 83 persatuan veteran ATM di Wisma Perwira ATM hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz.
Menurut Affendi lagi, walaupun ATM memerlukan anggota muda namun, pihaknya memerlukan perubahan secara holistik mengenai skim pencen untuk anggota.
Pada April lepas, Kementerian Pertahanan dalam cadangan untuk mewajibkan anggota ATM berkhidmat selama 21 tahun bagi melayakkan mereka menerima pencen.
Cadangan itu akan melibatkan pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 berkaitan peraturan pencen dan ganjaran.
Pada masa ini, anggota tentera mempunyai pilihan bersara iaitu 12, 15 atau 18 tahun perkhidmatan tanpa mendapatkan pencen. – MalaysiaGazette