KUALA LUMPUR – Pembangkang perlu diberi ruang untuk turut serta membuat dasar dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, penglibatan pembangkang di dalam Jawatankuasa Khas itu tidak hanya sebagai ahli biasa, malah perlu diberikan peranan sebagai pembuat dasar.
“Kami dipihak pembangkang memang nak menyertai atau pun terlibat dengan proses membuat keputusan. Perkara ini masih baharu dan mungkin ia masih lagi diperingkat pelaksanaan,” katanya yang menjadi panelis program SkopMG bertajuk ‘Majlis Pemulihan Negara, Mana Mulanya? yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Noor Amin berkata, keberkasanan penglibatan pembangkang dalam membuat dasar itu boleh dilihat di beberapa buah negara asing dan Malaysia harus menjadikannya sebagai contoh.
Katanya, beliau melihat sendiri Jawatankuasa Khas telah berjalan dengan cukup baik di negara-negara berkenaan dan itulah yang sepatutnya perlu dicuba untuk dilakukan di negara ini.
Jelasnya, ia merupakan satu usaha yang dapat meningkatkan Ahli Parlimen sebagai anggota ‘legislative’ untuk membuat dasar.
Dalam pada itu, ujar beliau, daripada segi komposisi, negara memiliki banyak kepakaran dan tenaga pakar boleh digunakan untuk membantu kerajaan dalam membuat keputusan.
Tambahnya, tidak semestinya dalam satu jawatankuasa perlu ada pakar-pakar tertentu dilantik sebaliknya, pakar-pakar itu boleh dipanggil pada bila-bila masa sahaja kerana mereka tahu tanggungjawab masing-masing. – MalaysiaGazette