KUALA LUMPUR – Setelah mula diberi kepercayaan turun pada tiga perlawanan terakhir, penjaga gol PJ City FC, Ahmad Syihan Hazmi tekad mahu terus mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama selain mahu membantu pasukan kekal di pentas Liga Super pada musim depan.
Menurut Syihan, dia sememangnya tidak menyangka akhirnya diberi peluang untuk turun bermain ketika menentang Kuala Lumpur City pada 7 Ogos lalu selepas sekian lama menjadi pilihan kedua di belakang Kalamullah Al-Hafiz.
Tambahnya, peluang ini akan digunakan sepenuhnya bagi terus menambat hati pengendali pasukan, P. Maniam, selain berasakan kerja kerasnya sepanjang sesi latihan selama ini serta sikap tidak berputus asa membuahkan hasil.
Sepanjang berada di bangku simpanan, Syihan mengakui dia tidak pernah berasa kecewa sebaliknya sentiasa berusaha lebih gigih serta cuba memperbaiki jika terdapat sebarang kelemahan.
“Rasa bersyukur sangat kerana setelah sekian lama di bangku simpanan, saya mendapat peluang diturunkan dan memang kesempatan ini tidak akan saya sia-siakan.
“Dalam dua perlawanan sebelum ini saya sudah berikan sebaik mungkin dan harap saya terus diberi peluang bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.
“Tidak terlintas untuk berasa putus asa apabila gagal untuk bermain sebaliknya saya kian bersemangat membuktikan apa yang saya ada dalam sesi latihan malah kita cuba belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.
Syihan yang berhijrah dari Negeri Sembilan sejak musim lalu sempat beraksi dalam empat perlawanan bersama PJ City pada awal musim sebelum kehilangan tempat kepada Kalamullah Al-Hafiz.
Dia merupakan antara penjaga gol yang dilihat mempunyai masa depan yang cerah selepas pernah menjadi sebahagian daripada anggota skuad Bawah 23 tahun negara semasa Kejohanan AFC Bawah 23 tahun di China pada 2017.
Namun PJ City mengalami kekalahan lima kali berturut-turut termasuk kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-4 malam tadi.
Kekalahkan itu menyaksikan PJ City kini berada di tangga kelapan liga. – MalaysiaGazette