KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, di sini.
Kenderaan rasmi yang membawa beliau dilihat meninggalkan perkarangan istana pada jam 1.36 petang diringi para petugas keselamatan selepas lebih dua jam menghadap Seri Paduka Baginda.
Perdana Menteri sempat melambai ke arah para petugas media yang menunggu di luar perkarangan Istana Abdul Aziz sejak pagi bagi mendapatkan laporan terkini berhubung kunjungan tersebut.
Artikel berkaitan:
- Ismail Sabri mulakan tugas rasmi PM hari ini
- Jawatan perdana menteri satu amanah – Ismail Sabri
- Saya umum senarai menteri Kabinet minggu ini – PM
Beliau dipercayai menghadap Al-Sultan Abdullah bagi mempersembahkan senarai anggota jemaah menteri yang akan menjalankan tugas di bawah pentadbirannya sebagai perdana menteri kesembilan.
Ahli Parlimen Bera yang mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada Sabtu, 21 Ogos lalu dijangka kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebelum mengumumkan senarai anggota Kabinet antara jam 3 dan 5 petang ini.
Dalam sidang media di Yan, Kedah 23 Ogos lalu, Perdana Menteri berkata, senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini.- MalaysiaGazette