SEPANG – AirAsia Group bersedia untuk kembali terbang dengan kakitangan hadapan yang telah divaksin sepenuhnya serta langkah-langkah keselamatan tanpa sentuhan dan kebersihan yang tertinggi menjelang pembukaan perjalanan udara yang dijangka diumumkan dalam waktu terdekat.
“Kami bersedia untuk kembali terbang dan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah keselamatan yang ketat, kami mewajibkan semua kakitangan operasi dan barisan hadapan kami yang bertemu dengan para tetamu, seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya sebelum kembali bertugas,” kata Tan Sri Tony Fernandes.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group menambah, proses vaksinasi semakin rancak di semua pasaran utama AirAsia, sekali gus menjadikannya lebih yakin untuk kembali terbang.
”Kini lebih daripada 50% populasi dewasa di Malaysia telah divaksin sepenuhnya, dan dijangka sekurang-kurangnya 80% rakyat Malaysia akan divaksin sepenuhnya menjelang akhir tahun 2021. Kita juga melihat kemajuan yang sangat memberangsangkan di Singapura, Korea dan Filipina.
”Lebih daripada 50 negara di seluruh dunia telah mula membuka pintu kepada para pelancong yang telah divaksin. Selaras usaha mempercepatkan proses vaksinasi di Asean, kita berharap negara-negara ini akan melonggarkan sekatan perjalanan terhadap para pelancong yang telah divaksinasi untuk perjalanan domestik dan antarabangsa serta meneruskan rancangan gelembung perjalanan.
“Dengan proses vaksinasi yang agresif di semua pasaran utama, berserta ujian saringan yang semakin dipertingkat dan penyebaran maklumat yang lebih tepat, kemelut pandemik ini semakin jelas menuju penghujungnya dan saya yakin kita akan dapat kembali terbang dalam beberapa minggu lagi. Apa yang paling penting, kami telah bersiap sedia sepenuhnya untuk berlepas,” katanya.
Tony berkata, untuk meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan tempoh untuk prosedur di lapangan terbang, penumpang AirAsia digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri secara dalam talian melalui airasia super app dan menggunakan kemudahan daftar masuk bagasi automatik untuk mengelakkan bayaran perkhidmatan di kaunter.
AirAsia juga telah menyediakan pelbagai pilihan pembayaran secara digital dan menerima pas masuk elektronik di semua lapangan terbang.
Kemudahan daftar masuk kendiri baharu kami membolehkan para tetamu mengesahkan dokumen perubatan dan kesihatan yang diperlukan secara automatik dalam talian sebelum mereka menuju ke lapangan terbang.
Tambahnya, AirAsia juga dalam proses untuk melancarkan teknologi pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang utama, bermula dengan klia2 dalam masa terdekat.
AirAsia turut mengintegrasikan sistem daftar masuk melalui airasia super app dengan aplikasi kesihatan digital MySejahtera oleh kerajaan Malaysia untuk menjadikan prosedur daftar masuk kendiri lebih mudah dan lancar.
Ujarnya, juruterbang AirAsia terus menjalani latihan secara berkala untuk memastikan pengetahuan dan kemahiran mereka di tahap tertinggi, manakala pesawat pula sentiasa diselenggara dengan sempurna untuk memastikan ianya dalam keadaan terbaik.
Latihan untuk kru penerbangan dan kakitangan di lapangan terbang juga turut dipertingkatkan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para tetamu pada setiap masa.
Semua pesawat AirAsia juga dilengkapi dengan penapis berkuasa tinggi HEPA yang membersihkan udara di dalam kabin menjadikannya setanding ketulenan udara di dewan pembedahan hospital.
Manakala rekabentuk pesawat dengan peredaran udara dari atas ke bawah di dalam kabin menjadikan risiko jangkitan semasa dalam penerbangan serendah sifar.
“Di sebalik semua ketidakpastian berikutan Covid-19, saya yakin kami akan kembali terbang dengan model perniagaan lebih luas dan berdaya maju yang tidak hanya bergantung pada tambang penerbangan sahaja kerana transformasi digital kami untuk menjadi super app pilihan Asean semakin menjadi kenyataan,” tambah Tony. – MalaysiaGazette