Home Dunia Jepun gantung 1.6 juta dos vaksin Moderna

Jepun gantung 1.6 juta dos vaksin Moderna

Vial vaksin Covid-19 keluaran Moderna. foto Agensi

TOKYO – Jepun telah menggantung kira-kira 1.63 juta dos vaksin Moderna kerana dikhuatiri tercemar.

Kementerian Kesihatan berkata, “bahan asing” dijumpai dalam beberapa dos sebilangan besar 560,000 botol (vials).

Takeda Pharmaceutical, yang menjual dan mengedarkan vaksin Covid-19 di Jepun, mengatakan Moderna telah menahan tiga kumpulan vaksin tersebut.

“Sehingga kini, tidak ada masalah keselamatan atau keberkesanan yang telah diketahui,” kata Moderna, sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan pengawal selia dan Takeda untuk menyelidiki masalah ini lebih lanjut.

Tidak ada perincian tentang apa itu “benda asing”, tetapi Takeda menggambarkannya sebagai bahan partikulat, setelah ia melakukan pemeriksaan kecemasan.

Kementerian Kesihatan mengatakan sebanyak 1,63 juta dos vaksin Moderna dibuat dalam pengeluaran yang sama pada waktu yang sama di Sepanyol, dan berada di bawah tiga nombor lot – 3004667, 3004734 dan 3004956, yang telah diserahkan kepada 863 pusat vaksinasi di seluruh negara.

Kementerian percaya risiko masalah keselamatan “tidak signifikan”, tetapi akan meminta setiap kemudahan yang menerima dos untuk tidak menggunakannya.

Lebih daripada 10 juta dos telah digunakan di negara ini sejak vaksin Moderna mendapat persetujuan untuk penggunaan kecemasan pada bulan Mei, menurut Kerajaan Jepun.

Kerajaan Jepun menandatangani kontrak dengan Moderna untuk menerima 50 juta dos vaksin Covid-19 pada akhir September.

Mengenai kelainan yang mungkin dijumpai di negara lain, Moderna mengatakan pihaknya memantau dan menilai dengan cepat pertanyaan yang diterimanya mengenai produk dari pasaran global dan pihak berkuasa tempatan akan membuat keputusan sendiri mengenai pendedahan maklumat setelah penilaian ini.

Masalah berlaku ketika Jepun sedang berdepan dengan kemuncak kes jangkitan Covid-19, ketika kerajaan mengisytiharkan lapan lagi wilayah di bawah keadaan darurat Covid-19. – Agensi