KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan individu tertentu yang menggunakan nama pengerusinya menerusi alamat emel mencurigakan untuk melakukan urusan pemerolehan dan pembayaran kepada vendor antarabangsa.
Intipati emel, yang menggunakan nama pengerusi SKMM, antara lain mengandungi arahan kepada Ketua Jabatan Kewangan dan Akaun Suruhanjaya berhubung urusan pemerolehan dan pembayaran yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, hasil penelitian yang dijalankan mendapati emel itu tidak pernah dikeluarkan oleh Pengerusi SKMM.
”Perlu ditegaskan di sini bahawa alamat emel rasmi bagi kakitangan MCMC berakhir dengan nama domain mcmc.gov.my dan bukannya nama domain lain.
”Pada masa yang sama, sebarang urusan rasmi SKMM akan dimaklumkan secara telus dan terbuka dan bukannya melalui kandungan emel sebegini,” kata SKMM.
Lantaran itu, SKMM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan e-mel yang mencurigakan menggunakan nama seseorang pemimpin organisasi kerana ia berkemungkinan besar satu taktik penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sekiranya tidak pasti mengenai kesahihan kandungan e-mel sebegini, hubungilah pihak berkuasa untuk pengesahan selanjutnya. – MalaysiaGazette