KOTA KINABALU – Seramai 31 bayi berusia di bawah satu tahun antara disahkan positif Covid-19 daripada keseluruhan 3,487 kes dilaporkan di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.
Jurucakap khas Covid-19 Sabah itu berkata, 297 yang dilaporkan di Sabah hari ini pula adalah kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga lima tahun, dan 632 orang berusia antara enam hingga 17 tahun.
“Majoriti pesakit iaitu 2,240 kes adalah mereka dalam lingkungan umur 18 hingga 59 tahun dan selebihnya adalah warga emas berusia 60 tahun dan lebih,” katanya dalam kenyataan malam ini.
“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.” katanya.
Masidi berkata terdapat satu kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Hamparan 2 di Kinabatangan yang merupakan kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah ladang sawit di Mukim Sukau melibatkan 21 kes kumulatif sehingga hari ini.