SEBERANG PERAI – Walaupun sudah hampir dua tahun pandemik Covid-19 membelenggu negara namun masih ada segelintir pengusaha bas serta pekerja kilang yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Ia terbukti apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengeluarkan 47 kompaun bernilai RM203,500 dalam operasi di sekitar negeri itu bermula 25 Julai hingga semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kompaun bernilai RM50,000 dikeluarkan semalam bermula jam 4 petang hingga 11 malam.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, hasil semakan mendapati saman paling banyak dikeluarkan ke atas pengangkutan awam terutamanya van pekerja kilang yang membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan iaitu sebanyak 18 kompaun berjumlah RM51,500.
Jelas beliau, kompaun kedua tertinggi pula dikeluarkan atas kesalahan gagal menyediakan peralatan saringan suhu iaitu sebanyak sembilan kompaun bernilai RM58,000.
“Selain dua kesalahan itu, syarikat pemegang lesen serta pengusaha kenderaan pengangkutan awam itu turut gagal menyediakan kod QR MySejahtera pada kenderaan yang digunakan untuk membawa pekerja kilang atau syarikat.
“Lebih mengejutkan, dalam tempoh yang sama kira-kira enam individu dikompaun berjumlah RM11,500 ekoran tidak imbas kod QR MySejahtera sedangkan ia sepatutnya sudah menjadi rutin dalam kalangan kita memandangkan hampir dua tahun Covid-19 melanda negara.
“Selain itu, ada kesalahan berulang membabitkan pengusaha van yang sama menyebabkan kita sita kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan Operasi Bersepadu berhampiran Plaza Tol Sungai Dua arah selatan yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa.
Dalam operasi itu, sebanyak 203 kenderaan diperiksa dan 98 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah memandu tanpa lesen, cermin sisi pemandu/penumpang hadapan gelap, nombor pendaftaran kenderaan tidak ikut spesifikasi dan lain-lain.
Mengulas lanjut Aedy Fadly memberitahu, pihaknya akan terus menjalankan operasi yang berkaitan bagi memastikan kenderaan awam serta perdagangan terutama bas dan lori tidak mengambil kesempatan mengabaikan aspek keselamatan ketika memandu.
“Suka juga saya ingatkan kepada semua penumpang, pemandu dan pemilik kenderaan pengangkutan awam khasnya bas serta van pekerja agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar usaha untuk melandaikan penularan kes jangkitan Covid-19 dapat dicapai,” ujar beliau. – MalaysiaGazette