KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat ulang tahun ke-72 buat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang disambut pada setiap 26 Ogos.
Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau sangat memahami perjuangan pergerakan itu kerana pernah menganggotai Pemuda UMNO.
“Sebagai orang yang pernah menganggotai Pergerakan Pemuda UMNO, saya amat memahami obor perjuangannya untuk menegakkan idealisme sayap parti ini.
“Pemuda UMNO adalah pelopor semangat dalam perjuangan anak watan mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya mencipta pelbagai kejayaan buat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ismail Sabri berkata, Pemuda UNNO berjuang dengan suara, tinta dan tenaga untuk memastikan agenda membela rakyat terus diutamakan.
Ujarnya, selepas 72 tahun, pergerakan itu kritis, inovatif dan progresif sesuai dengan zaman, serta semuanya demi negara tercinta.
“Selamat menyambut ulang tahun penubuhan ke-72! Tahniah Pemuda UMNO! Teruskan perjuangan tanpa noktah!,” katanya.
Pergerakan Pemuda UMNO yang ditubuh pada 26 Ogos 1949 merupakan sayap belia dalam UMNO yang ditubuhkan bagi mewakili golongan belia lelaki Melayu dan Bumiputera.
Untuk rekod jawatan Ketua Pergerakan UMNO kini dipegang oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – MalaysiaGazette