KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju dengan pembentukan Kabinet yang diumumkan hari ini biar pun mengakui ramai yang tidak begitu senang dengan keputusan itu.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Najib berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu adalah sebagai langkah untuk mengelak perubahan terlalu besar dalam tempoh kritikal ini.
“Ramai yang menyatakan seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah ‘Kabinet recycle’.
“Saya faham kenapa PM9 (Ismail Sabri) dan YDP Agong membuat keputusan berikut,” tulisnya.
Biar pun begitu, Najib turut menyatakan hampir separuh kementerian kerajaan telah bertukar pemimpin.
“Menteri-menteri bagi agama, undang-undang dan Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri turut bertukar. Kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian.
“Seperti yang dimaklumkan juga, beliau akan menggugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu,” katanya.
Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan percaya dasar Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pengawalan Covid-19 juga akan berubah.
“Ketua MKN telah bertukar, jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, Ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir perlaksanaan dasar akan menghalang,” katanya lagi.
Najib juga turut dilihat menghulurkan ‘salam’ untuk membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Untuk rekod, 11 kementerian yang telah bertukar menteri adalah Kementerian Luar Negari, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Usahawan dan Koperasi.
Ismail Sabri hari ini mengumumkan barisan Kabinetnya yang dianggotai 31 menteri dan 38 timbalan menteri.- MalaysiaGazette
Tak ada modal lain dah nak pilih. Pakai lah yang lama nak mintak pendapat orang lain nanti orang kata pm bodoh pula. Walau pun sepatutnya berbincang lah untok pilih kabinet tu jangan tangkap muat saja.