Home Utama Tubuh segera RCI siasat pendedahan Tommy – UMNO

Tubuh segera RCI siasat pendedahan Tommy – UMNO

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan yang dilakukan oleh Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi kehakiman.

Itu antara ketetapan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti, kata presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dalam satu kenyataan.

“UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan. Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain,” katanya lagi.

“Kerajaan hendaklah mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang kepada kerajaan,” kata Ahmad Zahid.

Menurutnya, kerajaan baharu hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.

UMNO juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik Ismail Sabri selaku Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

“UMNO mendokong penuh pelantikan tersebut dan parti akan membantu Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette