SABAN tahun Malaysia meraikan Ulangtahun Kemerdekaan Tanah Melayu dan Pembentukan Malaysia masing-masing pada bulan Ogos dan September. Ketika inilah generasi lama berkongsi perjalanan sebuah kemerdekaan bagi Malaysia yang menelusuri pelbagai peristiwa yang merupakan catatan sejarah kepada berdirinya sebuah negara yang berdaulat sehingga hari ini. Alhamdulillah, tahun ini kita sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia ke 58. Jika sebelum ini kita meraikannya dengan memenuhi dataran merdeka, dataran negeri dan lokasi-lokasi sambutan yang penuh dengan simbolik kemerdekaan, namun sejak setahun yang lalu hingga tahun ini, kita terus kekal meraikannya di rumah atau di pejabat menerusi capaian internet, saluran televisyen dan radio. Pastinya segenap rakyat Malaysia merasai kejanggalan apabila 2 tahun berturut-turut tidak dapat menikmati kemeriahan sambutan kedua-dua peristiwa bersejarah Malaysia ini seperti sebelum ini khususnya anak-anak generasi Alpha yang lahir selepas tahun 2010.
Ketika ini, selepas 17 bulan bermula Mac 2021 negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19, dan ianya dijangka berpanjangan dalam tempoh 3-4 tahun lagi menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Berdepan dengan pandemik yang cukup memberi kesan kepada keseluruhan sistem negara pastinya tidak pernah lagi dilalui oleh kita semua termasuklah generasi sebelum merdeka. Jika dahulu, kita dikongsikan dengan penceritaan bagaimana tanahair meniti jerit perih untuk bebas dari penjajah melalui pertumpahan darah kerana berjuang mempertahankan tanahair demi menuntut sebuah kemerdekaan, kini generasi seterusnya pasti menjadikan pandemik Covid19 ini kisah penderitaan yang lebih memeritkan kerana turut melibatkan terkorbannya banyak nyawa akibat jangkitan virus yang membunuh secara senyap.
Belum sempat juga generasi X, Y dan Z menikmati Wawasan 2020 yang menjadi impian dan disemai cita-cita semasa di bangku sekolah satu ketika dahulu, ketika itu jugalah kita diserang dengan krisis kesihatan global ini. Malah ianya turut memberi kesan kepada generasi hari ini dalam meneruskan kelangsungan hidup apabila rata-rata mereka adalah terdiri daripada usia remaja yang baru sahaja memulakan karier dalam kerjaya masing-masing khususnya yang bekerja sendiri turut menerima tempias apabila pandemik ini turut memberikan kesan yang serius kepada sektor ekonomi dan sosial.
Dalam konteks erti sebuah kemerdekaan pada waktu ini pastinya telah merubah kehidupan seharian kita. Jika merdeka diterjemahkan sebagai sebuah kebebasan seperti yang dilaungkan sejak 64 tahun yang lalu, namun kini terjemahan tersebut perlu diperincikan dengan lebih mendalam kerana kita melaluinya dalam tempoh yang sukar sejak 2 tahun ini. Merdeka dari segi minda dan disusuli dengan tindakan dalam era pandemik ini adalah terjemahan yang paling tepat untuk kita semua rakyat Malaysia melawan pandemik Covid-19 ini.
Mungkin ianya tidak memerlukan kita mengangkat senjata untuk bebas merdeka seperti titipan sejarah terdahulu, namun merdekanya kita dengan membuka minda , pemikiran dan ideologi seluasnya secara positif adalah senjata paling utama yang diperlukan untuk mempertahankan sistem kesihatan negara pada hari ini. Tindakan yang melanggar beberapa arahan dan pematuhan SOP termasuk ‘anti vaksin’ pula boleh ditafsirkan sebagai ‘musuh dalam selimut’ ketika negara dalam strategi mencapai imuniti berkelompok bagi mengurangkan risiko kematian.
Kedua-dua elemen mentaliti dan tindakan ini perlu seiring malah ianya merupakan tuntutan terbesar yang diperlukan dari 32 juta rakyat Malaysia dalam memenuhi erti kemerdekaan ketika negara masih berdepan dengan pandemik ini. Jika kita masih dalam keadaan biasa dan tidak mahu berubah kepada keadaan kebiasaan yang baharu (new norm), dari segi mental, rohani dan fizikal, nescaya kemerdekaan yang kita kecapi selama 64 tahun ini akan meroboh semula ketahanan nasional kerana ianya merupakan kekuatan dari semua aspek meliputi sosial, ekonomi, politik dan budaya sejak zaman nenek moyang kita lagi.
Mungkin jauh perbezaannya untuk dibuat perbandingan perjalanan kemerdekaan dahulu dan sekarang, namun harus diingat, kunci kejayaan untuk mengecapi kemerdekaan itu adalah melalui prinsip kebersamaan dan kesatuan yang teguh tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan cara hidup. Meniti cabaran dan dugaan dalam era pandemik ini juga amat berbeza sebelum Malaysia menikmati sebuah kebebasan. Ianya amat terkesan kepada rakyat apabila pandemik ini memberi kesan langsung kepada ekonomi harian rakyat khususnya yang mencari rezeki ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan bergantung kepada sektor peruncitan, pembuatan dan sosial yang terpaksa ditutup demi memutuskan rantaian penularan Covid-19 ini.
Dan amat mendukacitakan, pandemik ini turut mengubah lanskap sosial ke arah negatif dalam kehidupan apabila berlakunya keruntuhan institusi keluarga kesan dari tekanan hidup akibat terputusnya sumber pendapatan yang turut menyumbang kepada kesihatan mental kesan dari tekanan hidup. Jika dilihat dari aspek ini, erti sebuah kemerdekaan yang kita kecapi dahulu serba sedikit telah tercalar kerana kita seolah berpatah balik ke kehidupan lampau di mana rata-rata rakyat sebelum merdeka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian. Dan pastinya kita tidak inginkan keadaan ini berterusan kerana khuatir akan mengakibatkan kesan yang lebih teruk.
Penguatkuasaan dan sekatan dalam kehidupan seharian yang telah kita lalui lebih setahun ini terpaksa dilakukan sebagai jalan keluar terbaik oleh kerajaan dalam upaya mereka mengatur strategi untuk mengembalikan kehidupan normal dalam norma baharu. Bukan mudah untuk memutuskan rantaian Covid19 ini, bahkan dunia juga masih di luar kawalan.
Namun inisiatif yang dirangka dan dijalankan oleh kerajaan ini mempunyai satu matlamat sahaja iaitu meningkatkan sistem kesihatan negara dan memulihkan kehidupan rakyat yang terkesan. Keadaan inilah yang perlu diraikan bersama seiring dengan kita meraikan kemerdekaan setiap tahun khususnya ketika kita masih dalam era pandemik ini. Sokongan yang berterusan oleh setiap lapisan masyarakat perlu diterjemahkan dalam erti kemerdekaan sebenar apabila kita ingin bebas dari wabak ini, kita perlulah menyekat dahulu kebebasan yang pernah kita kecapi sebelum ini dalam erti kata mematuhi dan mendukung setiap strategi pemulihan negara yang telah diatur dan sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Jika pengorbanan menuntut sebuah kemerdekaan selama 446 tahun yang lalu boleh diterjemahkan oleh pejuang terdahulu, adakah kita sebagai pewaris kemerdekaan tidak mampu untuk bertahan seketika selama 2-3 tahun bagi terus mendapatkan kemerdekaan dari pandemik ini untuk terus bebas seperti dahulu? Inilah erti sebuah kemerdekaan yang bukan sahaja perlu dihayati tetapi perlu dibina jatidiri serta dipatuhi dalam setiap rakyat Malaysia dalam mendepani situasi yang tidak pasti bersama pandemik sebagai warganegara Malaysia yang Prihatin.
Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia ke-58
Raja Shah Erman Raja Arifin
Presiden
Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)
Merangkap Presiden
Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis