RENGIT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit Ayub Jamil menjangkakan daerah ini mampu mencapai 80 peratus pemberian vaksin bagi dos pertama menjelang 31 Ogos ini nanti.
Manakala 50 peratus dos kedua dicapai pada akhir bulan September ini.
Beliau berkata, sehingga hari ini DUN Rengit telah merekodkan 76 peratus untuk pemberian vaksin dos pertama manakala 43 peratus bagi dos kedua.
“Saya yakin Rengit mampu mencapai sasaran yang dinyatakan dan kita juga boleh mencapai imuniti kelompok.
“Kebanyakan mereka mendapat vaksin di UTHM , Yong Peng dan Dewan Jublee Intan Batu Pahat,” katanya ketika meninjau sesi pemberian vaksin di Kampung Sungai Bagan Laut Rengit di sini.
Ayub berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha sehingga Johor mampu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin bagi membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka.
“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Johor dapat terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kita berjaya memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Kerajaan Johor mensasarkan kadar vaksinasi 100 peratus bagi satu dos vaksin dicapai bulan depan manakala dua dos lengkap pula diselesaikan Oktober ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini berkata, perkara itu mampu dicapai berikutan keupayaan pemberian suntikan vaksin hingga 78,500 dos sehari kini sudah dicapai.
Keupayaan suntikan harian itu membolehkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri ini dapat ditingkatkan dengan kadar lebih pantas, jelasnya.- MalaysiaGazette